Allahyarham Sudirman ikon pelapis seni

Allahyarham Sudirman ikon pelapis seni

Kuala Lumpur : Generasi muda pelapis seni menganggap Penghibur Nasional, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sebagai tokoh terbilang yang layak digelar ikon atas sumbangan tidak ternilai di pentas kreatif.

Rata-rata selebriti tempatan menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola dan tokoh budayawan, malah, mengakui bintang legenda ini, tiada galang ganti terutama dalam menyubur semangat patriotik dalam karya seni.

Penyanyi, Aizat Amdan, berkata Allahyarham Sudirman adalah ikon, bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia Tenggara.

“Arwah Sudirman banyak mempromosikan budaya melalui hiburan. Dalam lagu-lagunya, arwah sering mengetengahkan kisah rakyat termasuk lagu berkisar kerja kilang di Malaysia.

“Wajar kita berbangga kerana arwah Sudirman berjaya mempromosikan nama Malaysia ke seluruh dunia. Arwah adalah ikon yang harus dijadikan teladan dan ikutan artis zaman sekarang,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi, Shiha Zikir berkata, Allahyarham Sudirman dikenali sebagai penghibur yang sangat disegani, berdisiplin dan menghasilkan karya hebat.

“Karya yang dihasilkan Allahyarham Sudirman berkualiti dan dekat di hati pendengar.

“Saya fikir generasi sekarang patut belajar daripada kisah Allahyarham Sudirman termasuk sifat rendah diri dan keberanian beliau untuk jadi diri sendiri hingga berjaya,” katanya.

Bagi penyanyi, Sufian Suhaimi, Allahyarham Sudirman adalah ikon seni yang sangat luar biasa.

“Lagu-lagunya penuh jiwa, sarat makna dan masih relevan hingga hari ini. Beliau bukan sahaja penyanyi hebat, tetapi insan merendah diri dan berjiwa rakyat.

“Legasi ditinggalkan masih belum terganti dan terus memberi inspirasi kepada ramai anak seni termasuk saya.” katanya.

Berpandangan sama, penyanyi, Haqiem Rusli mengakui Allahyarham Sudirman sebagai figura yang sangat besar dalam hidupnya.

“Setiap kali saya jalani latihan vokal di rumah, lagu arwah menjadi pilihan. Beliau memberi impak yang sangat besar dalam industri muzik, bukan sahaja daripada segi kehebatan vokal, malah, dari sudut peribadi dan nilai yang dibawa sebagai anak seni,” katanya.

Penyanyi Khai Bahar pula berpandangan karya dihasilkan Allahyarham Sudirman seperti lagu Balik Kampung serta Ayah dan Ibu banyak berkongsi mesej positif dan malar segar.

“Perkara ini wajar dicontohi oleh kita semua, terutamanya negara kita yang merangkumi masyarakat pelbagai bangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top