Allahyarham Tun Abdullah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

Allahyarham Tun Abdullah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat dikebumikan dengan penuh tertib mengikut Istiadat Pengebumian Kenegaraan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, solat jenazah dilaksanakan di Dewan Solat Utama masjid selepas solat Zuhur yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli keluarga Allahyarham dan rakyat jelata.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya mengusung keranda jenazah Tun Abdullah yang ditutupi Jalur Gemilang ke Makam Pahlawan sekitar 1.53 tengah hari.

Jenazah negarawan itu kemudian diturunkan ke liang lahad jam 2.06 petang, diikuti bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa mengiringi perjalanan akhir tokoh tiada galang ganti berkenaan.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir adalah bekas Menteri Kesihatan dan menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin, serta anak Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah.

Abdullah, 85, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi.

IJN dalam kenyataan memaklumkan bahawa beliau dimasukkan ke hospital itu pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top