Allan Andersn keluar dari zon selesa

Allan Andersn keluar dari zon selesa

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi yang semakin meningkat naik, Allan Andersn hadir dengan single terbaharu berjudul Senafas karya sarat emosi yang dijangka meruntun jiwa pencinta muzik.

Berbeza dengan kebiasaannya yang sering tampil dengan lagu ciptaan sendiri, Allan keluar daripada zon selesa apabila buat pertama kali bekerjasama dengan komposer tersohor Malaysia, Farouk Roman dan penulis lirik, Senna.

Kolaborasi ini turut dilihat sebagai jambatan budaya antara Malaysia dan Indonesia, menggabungkan kepakaran komposer tempatan dan keunikan vokal Allan yang semakin dikenali di peringkat serantau.

Menurut Allan, peluang menyanyikan karya komposer yang digelar ‘Raja OST’ itu menjadi pengalaman bermakna buatnya.

“Saya benar-benar teruja. Ini kali pertama saya menyanyikan lagu komposer Malaysia. Ia ibarat lembaran baharu dalam perjalanan muzik saya,” katanya.

Allan turut berkongsi mengenai proses rakaman di bawah SAAS Music Entertainment, dia banyak mempelajari cara Farouk membina melodi yang bukan sahaja indah tetapi mampu hidup dalam jiwa pendengar.

“Saya anggap proses ini menyeronokkan dan penuh pelajaran baharu,” kongsinya.

Senafas mengangkat kisah cinta penuh pengorbanan dan ketabahan, menggambarkan seseorang yang rela menanggung duka meskipun sering dilukai.

Lebih istimewa, lagu itu dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) drama siri di Astro Prima, Setiaku Berdiri arahan Rashid Sibir dan terbitan Radius One Sdn Bhd.

Drama terbabit turut menampilkan barisan pelakon seperti Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina dan Aidit Noh.

Dalam masa sama, Allan turut diberi kepercayaan mengarah muzik video Senafas yang dibintangi dirinya sendiri bersama Rendy Wicaksana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top