ALLIANCE Islamic Bank (AIS) melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AIS, Rizal IL-Ezhan Fadil Azim berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan bank dalam menyantuni masyarakat serta memperkukuh semangat kebersamaan.
“Antara inisiatif utama yang dijalankan termasuk kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui program ‘Sinar Kasih Ramadan: HER Journey’ yang berlangsung di Kuala Lumpur selain pelaksanaan Program Bantuan Bakul Makanan dan Program Baju Raya di Sarawak.
“Seramai 150 peserta program tersebut telah menerima bantuan bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut hari Raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, di Kuching, Sarawak, bantuan bakul makanan telah disampaikan kepada 200 penduduk di Kampung Beradek, Kampung Tiang Api dan Kampung Semilang.
“Sumbangan baju raya turut diberikan kepada 150 kanak-kanak asnaf bagi meringankan beban keluarga yang memerlukan serta membawa keceriaan menjelang musim perayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (lima dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ezhan Fadil Azim pada program Sinar Kasih Ramadan: HER Journey anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Ketiga-tiga program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Nancy Shukri,” ujarnya.
Tambahnya, bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara pihak bank dan masyarakat setempat, AIS turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan tazkirah Ramadan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil di Masjid As-Syakirin, Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu.
“Kerjasama erat bersama Yayasan Kebajikan Negara dan sokongan daripada pejabat Mufti amat kami hargai.
“Usaha seperti ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan serta memastikan tiada pihak yang dikecualikan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Rizal IL-Ezhan berkata, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong komuniti, AIS turut menyertai program Ramadan ‘Sentuhan Prihatin: Bakul Makanan Aidilfitri’ anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Berdikari Kuala Lumpur dan Selangor.
“Melalui penyertaan ini, sumbangan bakul makanan disampaikan kepada ahli persatuan bagi meringankan beban sepanjang Ramadan serta sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
“Selain itu, AIS turut menyokong inisiatif di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) melalui penyediaan pakaian raya kepada dua rumah anak yatim terpilih serta penganjuran majlis berbuka puasa bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang Ramadan ini dapat terus membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.
“Melalui kerjasama erat dengan rakan-rakan strategik serta sokongan berterusan masyarakat, AIS komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi kewangan yang prihatin dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Alliance Islamic Bank melaksanakan inisiatif kebajikan bagi golongan memerlukan sempena Ramadan
- Kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara melalui program ‘Sinar Kasih Ramadan: HER Journey’ dan pelaksanaan Program Bantuan Bakul Makanan serta Program Baju Raya di Sarawak
- Bantuan bakul makanan disampaikan kepada 200 penduduk di beberapa kampung di Kuching, Sarawak dan baju raya diberikan kepada 150 kanak-kanak asnaf
- Menganjurkan majlis berbuka puasa dan tazkirah Ramadan bersama Mufti Wilayah Persekutuan
- Menyertai program ‘Sentuhan Prihatin: Bakul Makanan Aidilfitri’ dan menyokong inisiatif di Rumah Pengasih Warga Prihatin melalui penyediaan pakaian raya dan penganjuran majlis berbuka puasa


