Pelawak dan pelakon sensasi, Along Cham terus membongkar kegiatan isterinya yang didakwa telah menyeleweng dana mencecah hampir RM100,000 hasil kutipan bagi membantunya sepanjang tempoh berada dalam tahanan pihak polis.
Memetik laporan Berita Harian, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41 tahun, berkata dia tidak menerima wang terkumpul tersebut, sekali gus menjelaskan bahawa anaknya, Ahmad Daniel, 14, berada di bawah jagaan pelakon senior, Didie Alias.
“Dana dikatakan untuk kegunaan saya, jujur tidak ada. Dana ini tidak sampai kepada saya. Duit digunakan untuk ikat jamin daripada ibu, keluarga dan Didie.
“Saya juga pelik, ada dalam kalangan selebriti yang beri sumbangan, tapi dana tidak sampai ke tangan saya. Dia (Afreena) cakap konon duit dana untuk pembiayaan anak saya.
“Tapi, anak diuruskan oleh Didie sepanjang saya berada di penjara. Dianggarkan lebih RM100,000 dana terkumpul,” dakwanya.
Lebih mengejutkan, Along turut mendakwa pelakon Aaron Aziz turut menjadi mangsa penipuan isterinya itu yang telah meminta wang berjumlah RM20,000 daripada aktor tersebut.
“Terbaharu, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.
“Paling mengejutkan, Aaron memaklumkan isteri ada meminta wang RM20,000, tapi Aaron hanya memberikan RM5,000 kononnya untuk membayar ikat jamin saya.
“Sedangkan wang ikat jamin sudah diselesaikan oleh ibu dan Didie. Saya sudah maklumkan kepada Aaron untuk dapatkan kembali wangnya,” dakwanya.
Sebelum ini, Along mendakwa isterinya, Afreena telah melanggar tiga perjanjian lafaz taklik.
Artikel Berkaitan: Dakwa Isteri Langgar 3 Perjanjian, Along Cham Bakal Fail Pengesahan Lafaz Cerai Taklik – “IC Saya Masih Dalam Simpanan ‘Mak Lampir’ Tu”
Sumber: Berita Harian