surayaroslan@mediaprima.com.my
Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Sabtu lalu.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman
“Tidak (mengaku),” katanya.
Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Along merayu jaminan diberikan berikutan mempunyai anak yang akan bersekolah tahun depan.
“Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fuad tidak membenarkan jaminan berikutan peruntukkan undang-undang mengikut seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
“Dah cakap tak boleh jamin, law (undang-undang) kata tak boleh jamin, alasan anak sekolah ke apa, memang law kata tak boleh jamin.
“Kalau boleh jamin dan bergantung kepada mahkamah, boleh saya pertimbangkan untuk bagi jamin. Tapi undang-undang kata tak boleh jamin,” katanya yang turut menetapkan sebutan kes untuk laporan kimia pada 27 Januari depan.
Along turut berdepan dengan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini berkaitan dengan dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




