Along Cham nekad berpisah, dakwa isteri langgar lafaz taklik

Along Cham nekad berpisah, dakwa isteri langgar lafaz taklik

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon juga pelawak, Along Cham, 42, nekad menfailkan cerai secara lafaz taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi disebabkan wanita itu sudah melanggar tiga perkara taklik yang dipersetujui mereka.

Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, berkata, dia sepatutnya sudah menfailkan cerai lafaz taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, namun ditangkap polis akibat memiliki ganja dua hari sebelum itu.

“Tindakan ini (perceraian) saya perlu lakukan selepas dia (Afreena) sudah melanggar lafaz taklik sebanyak tiga kali pada tahun lalu dan ia terjadi dari sebelum saya ditangkap lagi.

“Antara lafaz taklik yang dilanggar (tidak diikuti) Afreena ialah dia sebagai isteri tidak patuh dan membelakangkan suami,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di luar perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.

Along berkata, jadi kepada netizen yang menghentamnya di media sosial diingatkan agar belajar agama lebih tinggi sebab lafaz taklik itu tiada kaitan dengan kes dirinya yang ditahan sebab isu dadah itu.

“Ya, memang mengejutkan apabila saya memfailkan pengesahan lafaz taklik ini dan semua ibarat drama yang ada ‘plot twist’. Jadi, ini juga tindakan pertama yang saya perlu lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ semalam.

“Cuma, sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan ini, saya perlu dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih dalam simpanan dia (Afreena),” katanya.

Along berkata, dia bagaimanapun harus menfailkan cerai lafaz taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Sepang dan bukan di Putrajaya kerana mengikut alamat kediamannya.

Terdahulu, Along bertemu jodoh kali kedua dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas lapan tahun hidup menduda apabila bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Zila Saeron pada September 2016.

Along melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang, semalam melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Along didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top