norhayati_nordin@hmetro.com.my
Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, tidak berani hendak melengah-lengahkan kes lafaz cerai taklik yang didakwa sudah pun dilakukan isterinya, Afreena Suhaimi, 33.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad ketika ditemui berkata, dia sudah bertanyakan mengenai lafaz taklik itu kepada ramai ahli agama yang memaklumkan secara rasminya perceraian sudah berlaku dan perlu diselesaikan segera.
“Saya tak berani nak lama-lamakan benda ini (mengesahkan lafaz cerai taklik). Ini hukum agama dan saya dah tanya banyak pendapat ahli agama dan kalau ikut rasminya memang sudah dilanggarlah.
“Jadi, pihak Mahkamah Rendah Syariah Sepang pun dah bagi tarikh mungkin cepat sikit pada 10 Mac ini berbanding yang asal. Terima kasihlah,” katanya.
Along berkata, bagi pengesahan lafaz cerai taklik itu, dia juga tidak melantik peguam syarie untuk mewakilinya kerana ia hanya perlu pengesahan saja.
“Kes saya ini, bukan dia keluar rumah tanpa izin. Ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan sebab nanti netizen kata, saya dedahkan aib pula. Jadi, biarlah saya selesaikan dalam mahkamah saja,” katanya.
Terdahulu, Along memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari lalu sebagaimana mengikut alamat kediamannya.
Along dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, dia sepatutnya sudah memfailkan cerai lafaz taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, tetapi ditahan polis akibat memiliki ganja pada 14 Disember.
Menurut Along, isterinya sudah melanggar lafaz taklik yang membabitkan tiga perkara itu sepanjang perkahwinan mereka.
Pada 28 Januari lalu, Along hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi memfail dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap Afreena yang didakwa sudah melanggarnya.
Bagaimanapun, urusan berkenaan tidak dapat dibuat apabila Along dimaklumkan perlu menguruskannya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana mengikut alamat kediaman.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan bekas isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama itu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah penjagaannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




