norhayati_nordin@hmetro.com.my
Sepang : Pelakon dan pelawak sensasi, Along Cham, 42, tidak menyangka kes pengesahan lafaz cerai secara taklik dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, berlarutan agak panjang iaitu kira-kira tujuh bulan.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, banyak perkara dibangkitkan dalam mahkamah selama kes itu berlangsung, namun dia enggan membicarakannya di luar kerana tidak mahu dikatakan membuka aib.
“Saya memang tak jangka perkara ini akan berlarutan agak lama. Tak duga pun, termasuk hakim juga tak jangka banyak benda dibangkitkan.
“Saya pun tak nak cerita banyak, nanti orang kata saya buka aib pula. Insya-Allah, dah nampaklah ‘bunga-bunga cinta’ untuk ke arah berakhir itu (dapat keputusan),” katanya.
Ditanya mengenai kesediaan dirinya melalui fasa kehidupan bersendirian semula, Along berkata, dia sudah lama bersedia.
“Dah sedia dah. Sejak saya keluar dari ‘madrasah’ (penjara) Sungai Buloh itu pun, saya sudah bersedia. Sebab, saya dah tahu segala-galanya benda ini.
“Mungkin netizen anggap saya cuba nak menutup kes apa yang berlaku. Kes sivil itu. Tapi, benda ini (lafaz cerai) dah berlaku sebelum itu lagi.
“Cuma sebelum disahkan di pejabat agama, berlaku pula ‘tragedi’ lain. Tapi, satu-satulah kita selesaikan. Alhamdulillah, semua Allah permudahkan.
“Sekarang ini, kita ‘go with the flow’, perlahan-lahan. Cuma, mental kena jaga, emosi kena ‘cool’. Alhamdulillah, saya ‘happy’ sekarang sebab emosi pun selalu dijaga oleh emak saya,” katanya.
Semalam, Along hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang, di sini, untuk pengesahan lafaz cerai secara taklik yang dibuat ke atas Afreena menerusi permohonan difailkannya pada Januari lalu.
Mahkamah kemudian menangguhkannya ke 30 September ini berikutan keterangan daripada pihak Afreena semalam agak panjang dan perlu dibawa ke prosiding seterusnya.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu yang juga perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Along juga mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, hasil perkahwinannya dengan Zila.
© New Straits Times Press (M) Bhd




