am@hmetro.com.my
Besut: Hasrat tujuh beranak ingin bercuti di Cameron Highlands, Pahang tergendala apabila salah seorang ahli keluarganya hilang dalam perjalanan ke pusat peranginan itu.
Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, pada awalnya mereka sekeluarga keluar dari rumah di Kuala Nerus, Terengganu dengan menaiki dua kenderaan kira-kira jam 11.30 malam, Khamis lalu.
Katanya, dia bersama isteri serta empat anak menaiki kereta jenis Proton Persona manakala anak sulungnya dari lima beradik, Ahmad Azreeq Zafreen, 19, menunggang motosikal jenis Yamaha R15.
“Kali terakhir kami berjumpa di stesen minyak di Saujana, Setiu untuk ke tandas sebelum saya bergerak dahulu selepas memaklumkan kepada Along (Azreeq) supaya ikut dari belakang kereta.
“Apabila tiba di kawasan Kampung Anak Ikan, Besut kami bercadang untuk berhenti makan dan berkongsi lokasi dengan Along supaya dia singgah di situ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, Azreeq yang juga bekerja sebagai pembantu kedai makan sempat berkongsi ‘live location’ beberapa minit ketika dia bergerak namun dia memadamkan semula maklumat itu.
“Apabila kami semua selesai makan dia masih belum sampai dan saya buat keputusan untuk terus bergerak ke Gua Musang, Kelantan kerana beranggapan dia akan ikut dari belakang.
“Sepanjang perjalanan itu, isteri ada menghubunginya namun telefon tidak diangkat dan kami fikir mungkin telefonnya kehabisan bateri,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga sempat berehat sebentar di Gua Musang dan sehingga solat Subuh anaknya itu masih belum dapat dihubungi.
“Saya buat keputusan untuk pulang semula ke Besut, Terengganu mencarinya kerana rasa tidak sedap hati selepas dia gagal dihubungi selepas beberapa jam,” katanya.
Katanya, hasil maklumat dari saudara mara yang menggunakan aplikasi telefon lokasi terakhir Azreeq dikesan di kawasan berhampiran Kampung Benting Lintang, Besut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak Petron Benting Lintang berjaya mengesan kelibat individu dipercayai mangsa yang hilang itu kira-kira jam 1.38 pagi.
“Setakat ini masih belum ada sebarang maklumat baru ditemui dan satu kertas siasatan orang hilang (OH) dibuka.
“Mangsa dipercayai memakai t-shirt bertopi berwarna putih serta seluar jeans gelap berwarna hitam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




