Along kenakan bunga 547.5 % setahun

Along kenakan bunga 547.5 % setahun

Bangkok: Bahagian Penindasan Jenayah Ekonomi (ECD) Thailand berjaya menumpaskan dua kumpulan ceti haram yang beroperasi di empat wilayah di Thailand.

Portal The Thaiger melaporkan, ECD turut menemui wang bernilai lebih satu bilion baht (kira-kira RM128 juta) dipercayai hasil kutipan faedah daripada penghutang pada kadar pemerasan sebanyak 547.5 peratus setahun.

ECD menyasarkan dua kumpulan along itu iaitu Burin-credit dan Memoney-Credit dan menyerbu pejabat di empat wilayah iaitu di Bangkok, Phichit, Samut Prakarn dan Chantaburi.

Dalam serbuan itu, polis menahan empat suspek lelaki iaitu Thotsapphon Chiangka, 29, Sakkarin Chinorot, 29, Yutthana Fuengfu, 27, dan Kiattisak Thamkongthong, 21.

Polis turut merampas sejumlah besar dokumen haram termasuk 22 perjanjian pinjaman palsu bernilai 7,990,000 baht (kira-kira RM1 juta) bersama 13 komputer, 38 telefon bimbit, 50 kad SIM yang digunakan kumpulan terbabit untuk menjalankan perniagaan haram mereka dan lapan kereta.

Empat daripada kereta itu milik lelaki yang ditahan itu termasuk sebuah Mercedes Benz, BMW dan Toyota.

Empat kereta Hyundai diserahkan oleh penghutang untuk membayar pinjaman.

Polis melaporkan, ECD menerima aduan mengenai kumpulan ‘jerung pinjaman’, Burin-credit, pada awal tahun lalu.

Burin-credit membuka sistem dalam talian untuk orang ramai memohon pinjaman, mengenakan kadar faedah 1.5 peratus sehari atau 547.5 peratus setahun.

Sasaran utama kumpulan itu ialah pengendali perniagaan kecil yang tidak dapat mengakses pinjaman rasmi daripada institusi kewangan yang sah.

Burin-credit dilaporkan menggunakan kekerasan terhadap penghutang yang terlepas tarikh pembayaran.

Mereka membuat panggilan untuk mengancam penghutang dan juga melawat rumah atau premis perniagaan penghutang untuk menyerang mereka.

Empat suspek mengendalikan laman web Burin-credit bersama-sama, sebelum Sakkarin membuka Memoney-Credit.

Polis melaporkan, lebih satu bilion baht dalam edaran di dua laman web pinjaman wang itu, tahun lepas.

Empat suspek mengaku menawarkan pinjaman dengan kadar faedah lebih tinggi daripada had undang-undang.

Bagaimanapun, kesemua mereka menegaskan mereka tidak pernah menyerang atau mengancam penghutang untuk membayar balik hutang.

Mereka didakwa menawarkan pinjaman peribadi tanpa kebenaran, menuntut faedah melebihi kadar undang-undang, dan menggunakan tindakan ganas untuk mengutip hutang.

ECD Thailand berjaya menumpaskan dua kumpulan ceti haram yang beroperasi di empat wilayah di Thailand dan menahan empat ‘jerung’.

© New Straits Times Press (M) Bhd