Alonso janji era baharu Real Madrid selepas dimalukan 0-4

Alonso janji era baharu Real Madrid selepas dimalukan 0-4

East Rutherford: Pengendali Real Madrid, Xabi Alonso berjanji akan membawa kelab gergasi Sepanyol itu ke fasa baharu musim depan, selepas menyaksikan anak buahnya ‘dibelasah’ Paris Saint-Germain (PSG) 0-4 pada separuh akhir Piala Kelab Dunia, awal pagi tadi.

Alonso yang baru mengambil alih jawatan pengurus beberapa minggu lalu, mengakui pertukaran taktikalnya kali ini tidak menjadi apabila menukar sistem pertahanan lima pemain kepada empat, susulan ketiadaan Dean Huijsen (digantung) dan Trent Alexander Arnold (cedera).

Hasilnya, Real dibolosi dua kali dalam hanya sembilan minit pertama, dengan PSG menghukum kelemahan barisan belakang menerusi jaringan awal Ousmane Dembele dan Fabian Ruiz.

“Kami ketinggalan dua gol dan gagal menemui rentak. Ia kekalahan yang menyakitkan dan kami perlu akui kami tidak berada di tahap terbaik hari ini,” kata Alonso selepas perlawanan.

Real tidak melakukan sebarang perubahan ketika rehat, dengan Alonso mempertahankan keputusan itu kerana percaya pasukannya masih mempunyai peluang menjaringkan gol.

Namun, percaturan itu tetap tidak membuahkan hasil apabila PSG terus menguasai permainan, menambah dua lagi jaringan menerusi Ruiz dan Gonçalo Ramos untuk melengkapkan malam malang buat juara Eropah itu.

“Kami ada kekurangan pada beberapa ketika dan kadangkala bagus juga bila kita nampak kesilapan sendiri untuk dijadikan pengajaran,” katanya.

Alonso bagaimanapun tetap positif dan memberi jaminan kepada penyokong bahawa kebangkitan akan menyusul musim depan.

“Kami akan mulakan era baharu dengan semangat yang segar selepas rehat ini. Kami mahu bina sebuah pasukan yang beraksi sebagai satu unit. Kami hanya selangkah lagi (ke final), ia memang perit… tapi kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” tambahnya.

Alonso juga tidak menolak kemungkinan melakukan beberapa lagi pembelian pemain dalam usaha memperkukuh skuad Galacticos kendaliannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top