Madrid: Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso menegaskan beliau mahu prestasi anak buahnya di atas padang menjadi jawapan sebenar ketika memulakan kempen pertama La Liga di laman sendiri menentang Osasuna, esok.
Bekas jurulatih Bayer Leverkusen itu cukup disayangi penyokong Madrid kerana kejayaan ketika era bermain di Santiago Bernabeu serta bersama Sepanyol, kini diberi tanggungjawab menghidupkan semula skuad Los Blancos yang menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi utama.
Dalam aksi Piala Dunia Kelab bulan lalu, yang juga kejohanan pertama Alonso bersama Real, mereka tersingkir di separuh akhir selepas tewas 0-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) .
Di bawah bimbingan Carlo Ancelotti, Real menamatkan saingan La Liga empat mata di belakang juara, Barcelona, selain gagal mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tersingkir di suku akhir.
Mereka juga kecundang di pentas final Copa del Rey kepada seteru tradisi, Barca.
“Saya lebih suka bertindak berbanding bercakap.
“Membuat janji sebelum bertindak biasanya tidak menjadi dalam bola sepak. Hanya berkata-kata tidak akan mengubah apa-apa. Kami mahu memulakan jalan itu esok.
“Kami sangat bersemangat dan mahu membawa tenaga itu ke stadium sekali gus meraih sokongan penyokong,” kata Alonso.
Alonso memperkuat benteng Real dengan kehadiran pertahanan kanan England, Trent Alexander-Arnold dari Liverpool, pemain tengah pertahanan Sepanyol berusia 20 tahun dari Bournemouth, Dean Huijsen serta bek kiri Alvaro Carrera dari Benfica.
Pertambahan tenaga baharu itu dilihat mampu menampung kelemahan benteng yang menjadi punca kegagalan Real dalam saingan musim lalu. Dani Carvajal yang masih dalam proses kembali selepas kecederaan ACL musim lalu turut disenaraikan bagi menentang Osasuna.
“Ia persaingan sihat buat pemain dan saya suka apabila ada dua pemain mampu bermain di setiap posisi. Kadang-kadang saya perlu melakukan penggiliran. Carvajal semakin hampir ke tahap terbaiknya, dan itu bagus buat skuad,” ujar Alonso.
Namun, Real tidak dapat menurunkan Antonio Ruediger (digantung), selain Ferland Mendy, Eduardo Camavinga, Jude Bellingham dan penyerang muda Endrick yang masih dibelenggu kecederaan.
Alonso turut mengulas pendirian Real yang menentang cadangan penganjuran perlawanan La Liga antara Barcelona menentang Villarreal di Miami, Disember depan.
Real memberi amaran langkah itu boleh menjejaskan keseimbangan saingan dan berjanji akan membawa perkara berkenaan kepada badan induk bola sepak untuk menyekat penganjuran tersebut.
Aksi yang dijadualkan pada 20 Disember itu sudah mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol minggu lalu, sekali gus berpotensi menjadi perlawanan pertama La Liga di luar negara dan aksi liga Eropah pertama dianjurkan di Amerika Syarikat. Ia masih menunggu kelulusan UEFA, US Soccer, CONCACAF dan FIFA.
“Saya amat bersetuju dengan kenyataan kelab (Real). Jika peraturan mahu diubah, ia mesti dengan persetujuan sebulat suara semua pasukan (dalam liga). Jika tidak, ia tidak boleh dilakukan,” jelas Alonso.
© New Straits Times Press (M) Bhd