Alonso 'pening kepala' tonggak utama cedera

Alonso 'pening kepala' tonggak utama cedera

Berlin: Bayer Leverkusen berdepan dengan beberapa masalah kecederaan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara di tempat sendiri menentang RB Salzburg menyebabkan pengurusnya Xabi Alonso menekankan bahawa beliau memerlukan semua pemainnya untuk bersaing dalam jadual yang padat.

Penyerang Perancis, Martin Terrier, menyertai senarai tonggak mengalami kecederaan selepas pemain berusia 27 tahun itu patah lengan bawah kanan beberapa minit sebelum kemenangan 5-2 mereka ke atas Heidenheim.

Sebelum itu, sayap Jonas Hofmann disahkan tidak dapat beraksi lagi sepanjang tahun ini akibat kecederaan otot di paha kiri, menyertai penyerang Victor Boniface, sayap Amine Adli, serta pertahanan tengah Nordi Mukiele dan Jeanuel Belocian yang juga cedera.

“Kami memerlukan seluruh skuad, tetapi dengan enam pemain yang cedera, setiap pemain menjadi lebih penting. Ia sangat intensif untuk bermain setiap tiga hari. Ini adalah situasi khas di mana kami memerlukan setiap pemain,” kata Alonso.

Selain masalah kecederaan, Leverkusen juga bergelut dengan prestasi dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila mereka seri 1-1 dengan Brest dan kemudian kalah 4-0 kepada Liverpool dalam pertandingan Eropah.

Leverkusen, juara berganda domestik musim lalu, kini berada di tempat ke-13 dalam kedudukan Liga Juara-Juara dan akan bertemu Salzburg yang berada di tempat ke-30.

Namun, Alonso berkata pasukan kendalian Pepijn Lijnders itu tidak boleh dipandang ringan.

“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan di rumah menentang Salzburg dan Inter. Kami menjangkakan lawan yang baik esok, Salzburg bermain dengan intensiti dan dinamik yang tinggi. Kami ingin mendapatkan mata penting ini di BayArena.

“Kami memerlukan tenaga daripada peminat. Dalam saat-saat sukar, mereka boleh mempengaruhi dan memberi dorongan kepada kami,” tambah Alonso.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top