Alonso yakin sudah temui trio terbaik

LONDON: Gandingan trio Chelsea, Morgan Rogers, Cole Palmer dan Joao Pedro mampu membawa lebih banyak kemenangan kepada The Blues pada musim ini.

Perkara itu diakui Xabi Alonso selepas gandingan tiga pemain itu membantu Chelsea melakar kemenangan 3-2 ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Alonso menikmati permulaan sempurna dalam tugasnya selepas memberikan kebebasan kepada Rogers, Palmer dan Pedro untuk mengasak pertahanan Fulham.

Pedro hanya memerlukan 31 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi penyudah tenang hasil hantaran Palmer dan Rogers membuktikan dia mampu membayar semula kepercayaan Chelsea yang membelanjakan 117 juta pound (RM644.67 juta) kepada Aston Villa untuk menjadikannya pemain Britain termahal dalam sejarah.

Pemain England itu meledak gol kedua Chelsea dengan penyudah bergaya selepas Fulham menghukum kesilapan penjaga gol The Blues, Robert Sanchez, untuk menyamakan kedudukan menerusi Josh King.

Palmer kemudian menyertai pesta jaringan selepas rehat apabila meledak gol dari sudut sukar untuk meletakkan Chelsea mendahului 3-1.

Aksi menghiburkan Chelsea itu jauh berbeza berbanding persembahan hambar mereka di bawah kendalian Enzo Maresca dan kemudian Liam Rosenior musim lalu.

“Kami memberikan ancaman. Ketiga-tiga penyerang bergabung dengan baik dan mencipta peluang. Secara keseluruhan, skuad ini seimbang.

“Pemain istimewa perlu diberikan kebebasan, tetapi pada masa sama mereka perlu memikul tanggungjawab untuk membantu pasukan.

“Kami tahu mereka memiliki bakat untuk mencipta banyak peluang. Ini permulaan yang baik. Namun, kami tidak boleh hanya bergantung kepada mereka. Kami perlu mengawal permainan, memiliki kualiti dan ketahanan,” kata Alonso.

Alonso dipecat Real Madrid pada lalu Januari selepas kurang lapan bulan mengendalikan kelab gergasi Sepanyol itu.

Bekas pemain tengah Liverpool itu mempunyai misi untuk membuktikan kemampuannya ketika cuba mendapatkan semula sentuhan emas ketika dia membawa Bayer Leverkusen meraih kejuaraan Jerman pada 2024.

Chelsea terpaksa bertahan selepas satu lagi kesilapan Sanchez menghadiahkan gol kepada Gonzalo Garcia sebelum Alonso dapat meraikan kemenangan dalam aksi sulungnya menerusi pertembungan sengit derby London Barat.

“Ia perlawanan yang sangat sengit. Kami menderita, kami bersaing dan kami melakukan apa sahaja yang diperlukan pada ketika tertentu.

“Gol awal membantu meningkatkan keyakinan. Kami mempunyai beberapa peluang sebelum mereka menyamakan kedudukan.

“Pada penghujung perlawanan, anda tahu anda perlu berusaha keras dan berjuang untuk mempertahankan gol sendiri,” kata Alonso. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top