Aloy Paradoks Pernah Gugur Watak Pelakon Wanita Kantoi Menipu, Tegas Bab Disiplin

Aloy Paradoks Pernah Gugur Watak Pelakon Wanita Kantoi Menipu, Tegas Bab Disiplin

Pengarah dan pelakon teater, Aloy Paradoks pernah mengambil keputusan menggugurkan seorang pelakon kerana tidak jujur dan mengabaikan komitmen latihan.

Menurut Aloy, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengarahkan sebuah produksi melibatkan pelajar institusi pendidikan, di mana salah seorang pelakon wanita memberikan alasan tidak sihat sebagai sebab untuk tidak hadir ke sesi latihan.

“Saya terima alasannya dan teruskan latihan seperti biasa. Tapi selesai sesi, saya ternampak dia sedang lepak di sebuah restoran berhampiran lokasi latihan.

“Tanpa tunggu lama, saya maklumkan wataknya digugurkan daripada pementasan. Saya memang sukar bertolak ansur dengan sikap seperti itu. Dalam teater, disiplin sangat penting,” jelasnya.

Jelas Aloy lagi, insiden seperti itu belum pernah berlaku dalam kalangan pelakon profesional kerana kebanyakan mereka lebih bertanggungjawab serta jujur apabila tidak dapat menghadiri sesi latihan.

“Kalau melibatkan artis profesional, mereka lebih berterus terang. Mereka akan maklum awal jika ada komitmen kerja lain. Itu lebih saya hargai,” tambahnya.

Aloy kini aktif sebagai pelakon dalam pementasan Persiapan Seorang Aktor (PSA) yang bakal berlangsung dari 17 hingga 20 Julai ini di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Dalam produksi tersebut, Aloy menggalas cabaran membawakan dua karakter secara serentak, Saddiq Saufy dan Hamlet yang menuntut fokus tinggi serta penghayatan mendalam.

“Cabarannya adalah mendalami dua watak ini secara serentak. Tanpa sedar, saya sedang ‘hidup’ sebagai dua individu berbeza.

“Itu antara perkara mencabar selain menyampaikan dialog panjang dengan penuh rasa dan tetap kelihatan bersahaja.

“Ia sukar, terutama bila menggunakan bahasa baku tetapi perlu disampaikan dengan lancar dan tidak kaku,” jelasnya lagi.

Persiapan Seorang Aktor mengangkat kisah seorang pelakon lelaki yang mengembara dalam pencarian makna, kejujuran dan kesempurnaan dalam lakonan.

Ia juga menyingkap perjuangan untuk menjadi bukan sahaja pelakon terbaik di Malaysia, tetapi turut menyaingi tokoh agung seni pentas antarabangsa.

Tiket pementasan kini boleh didapati di www.onetix.com.my pada harga RM58, RM78 dan RM98.

Scroll to Top