Kumpulan Alpha sekali lagi mencuri perhatian selepas melancarkan muzik video (MV) terbaharu mereka berjudul P Ramlee Saloma, baru-baru ini.
Alpha dianggotai Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol menganggap kehadiran MV berkenaan adalah sebagai hadiah buat peminat.
MV yang memaparkan visual penuh romantik dan sinematografi moden bukan sahaja menambah makna pada lagu, malah menjadi simbol kasih sayang Alpha kepada semua yang menjadi ‘tulang belakang’ dalam karier seni mereka.
“MV ini lahir dari hati kami untuk peminat. Ia menjadi pemangkin untuk kami hasilkan lebih banyak visual yang lebih mantap selepas ini,” jelas Ray-D.
Tambah Daniel Sher pula, dorongan dan sokongan peminat menguatkan lagi semangat mereka untuk berkarya.
“Paling ‘best’ bila baca komen-komen yang kata lagu ini menyentuh hati mereka. Itu motivasi sebenar untuk kami terus berkarya,” katanya.
Bagi Izat Ibrahim, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan luar biasa peminat.
“Terima kasih kepada semua yang menonton, yang strim dan berkongsi lagu ini. Kejayaan ini milik peminat dan kami janji akan tampil dengan komposisi lebih segar selepas ini,” katanya.
Perasaan terharu jelas dirasai oleh Afiq Sky yang membayangkan sambutan luar jangka.
“Baru dua single sahaja kami sudah capai tahap ini. Saya yakin Alpha mampu pergi lebih jauh dengan doa dan sokongan semua.” katanya.
Sementara itu, Ariel Fesol meluahkan rasa syukur atas perjalanan indah itu. “Ini menjadikan langkah kami lebih bermakna. Jangan berhenti untuk strim dan sebarkan muzik kami, kerana anda semua adalah kekuatan sebenar Alpha,” katanya penuh semangat.
Alpha ditubuhkan menerusi rancangan program realiti Big Stage Alpha malah menjadi kumpulan lelaki pertama di bawah naungan label terkenal Rocketfuel Entertainment.
Selepas kejayaan single sulung mereka berjudul Monalisa (Bang Bang), kini Alpha sekali lagi membuktikan kemampuan dengan karya mereka.
Naskhah yang diinspirasikan daripada cinta agung dan dibawakan dalam bentuk balada moden yang menyentuh jiwa.
P Ramlee Saloma diinspirasikan daripada kisah cinta abadi dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
“Saya sangat bangga kerana dalam tempoh singkat sahaja lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat membuktikan muzik kami diterima dan itu buat saya benar-benar terharu,” kata Rizal Rasid.
Hanya dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran pada 18 Julai lalu, P Ramlee Saloma berjaya mengumpul lebih daripada 22 juta capaian digital yang merangkumi platform Spotify, YouTube, YouTube Music, Apple Music dan tontonan video pendek.
Bagi sebuah kumpulan yang baru sahaja melangkah dengan single kedua, angka ini membuktikan bahawa muzik Alpha mampu meninggalkan impak besar dan mendapat tempat di hati peminat.
Bagi Araff, kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat mereka.
“Bila nampak lagu ini trending, semangat saya naik berganda. Saya mahu peminat tahu bahawa kami akan terus berusaha untuk hasilkan karya yang lebih baik dan saya harap mereka terus bersama kami,” ujarnya.
P Ramlee Saloma turut dipilih menjadi runut bunyi (OST) untuk drama Thariq Ridzuwan: His Treasure yang dibintangi pelakon popular tanah air antaranya Meerqeen, Qasrina Karim, Evertts Gomes dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




