
SHAH ALAM – alrajhi bank Malaysia melancarkan kad kredit Visa pertamanya, Kad Kredit-i Visa Platinum dan Kad Kredit-i Visa Signature sebagai usaha memperkukuh portfolio perbankan runcit selain memenuhi permintaan pengguna terhadap nilai, kemudahan serta kawalan yang lebih baik dalam perbelanjaan harian.
Kedua-dua kad baharu itu merupakan langkah strategik bank dalam pasaran kad kredit menerusi gabungan ganjaran pulangan tunai, manfaat perjalanan, kemudahan pengurusan kad secara digital dan pembiayaan patuh Syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif alrajhi bank Malaysia, Syahrul Ishak berkata, pelancaran kad kredit pertama itu melengkapkan rangkaian penyelesaian kewangan bank kepada pelanggan.
“Selama bertahun-tahun, pelanggan alrajhi bank Malaysia telah meletakkan kepercayaan kepada kami dalam memenuhi keperluan simpanan, pembiayaan dan pelaburan mereka.
“Pelancaran kedua-dua kad kredit pertama ini merupakan langkah penting dalam melengkapkan rangkaian penyelesaian kewangan kami melalui ganjaran yang bermakna untuk perbelanjaan harian serta pengurusan kad secara digital yang mudah, lancar dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sempena pelancaran tersebut, bank turut menawarkan ganjaran istimewa kepada pengguna terawal menerusi kempen pulangan tunai bagi tempoh terhad.
“Langkah ini menawarkan lebih banyak nilai kepada pelanggan apabila mereka mula menggunakan kad kredit baharu kami,” katanya.
Kad-kad baharu itu menawarkan ganjaran bagi perbelanjaan dalam kategori yang sering digunakan pengguna termasuk pembelian barangan runcit, makan di luar, pembelian dalam talian, pembayaran utiliti dan transaksi di luar negara.
Kad Kredit-i Visa Platinum menawarkan pulangan tunai lima peratus bagi perbelanjaan berkaitan makan di luar, pembelian barangan runcit, transaksi dalam talian dan pembayaran utiliti, tertakluk kepada had RM30 sebulan.
Pemegang kad turut menikmati pulangan tunai tanpa had sebanyak 0.2 peratus bagi semua pembelian runcit lain yang layak selain pengecualian fi tahunan seumur hidup untuk pemegang kad utama dan kad tambahan.
Sementara itu, Kad Kredit-i Visa Signature menawarkan pulangan tunai sebanyak 10 peratus bagi perbelanjaan di luar negara, tertakluk kepada had RM80 sebulan, selain pulangan tunai tanpa had sebanyak 0.6 peratus bagi perbelanjaan lain yang layak mengikut mata wang tempatan.
Pemegang kad berkenaan turut menikmati akses percuma ke ruang istirahat lapangan terbang Priority Pass di seluruh dunia serta perkhidmatan Visa Concierge 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi kemudahan perjalanan, makan di luar dan gaya hidup.
Fi tahunan bagi Kad Kredit-i Visa Signature dikecualikan pada tahun pertama dan akan terus dikecualikan sekiranya pemegang kad melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi runcit setiap bulan selama 12 bulan berturut-turut.
Bersempena pelancarannya, alrajhi bank Malaysia turut memperkenalkan kempen pulangan tunai untuk tempoh terhad kepada pelanggan kad kredit baharu.
Pemohon yang layak, membuat permohonan dalam tempoh kempen, memenuhi syarat perbelanjaan yang ditetapkan serta mematuhi terma kempen berpeluang menjadi antara pelanggan terawal menerima pulangan tunai RM100 bagi Kad Kredit-i Visa Platinum atau RM150 bagi Kad Kredit-i Visa Signature, sebagai tambahan kepada manfaat pulangan tunai sedia ada.
Kedua-dua kad boleh diuruskan melalui aplikasi MY alrajhi yang membolehkan pelanggan memantau transaksi dan mengakses ciri keselamatan kad dengan mudah melalui peranti mudah alih.
Kad tersebut ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur antara 21 hingga 65 tahun dengan pendapatan tahunan minimum RM24,000 bagi Kad Kredit-i Visa Platinum dan RM60,000 bagi Kad Kredit-i Visa Signature.



