
Alto ingat pemain Sabah tidak memandang rendah keupayaan Kelantan TRW. Foto Sabah FC
JURULATIH Sabah FC, Alto Linus memberi amaran awal kepada anak buahnya supaya tidak leka menjelang aksi Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors FC (TRW) di Stadium Likas pada Sabtu.
Selepas mencatat keputusan positif dalam dua aksi di tempat lawan sebelum ini, skuad Badak kini kembali beraksi di laman sendiri dengan semangat tinggi. Namun, Alto mengingatkan pemain agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian lalu.
“Dua perlawanan terakhir memang banyak membantu meningkatkan keyakinan pasukan, tetapi kita tidak boleh cepat berpuas hati. Setiap perlawanan itu penting dan apabila bermain di hadapan penyokong sendiri di Likas, kita perlu kekal fokus dan bermain dengan penuh disiplin,” katanya.
Sabah bagaimanapun berdepan cabaran apabila beberapa tonggak utama masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Ada beberapa pemain yang belum cergas sepenuhnya. Tetapi saya yakin sesiapa sahaja yang diberi peluang akan memberikan yang terbaik untuk pasukan. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan apabila turun ke padang,” tambahnya.
Mengulas mengenai lawan, Alto mengakui kehadiran pengendali berpengalaman, E. Elavarasan, telah membawa impak positif kepada TRW sekali gus menjadikan pasukan pantai timur itu pencabar yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kelantan bukan lawan mudah. Mereka baru sahaja menewaskan KL City FC 3-1 dalam saingan Piala FA di Kota Bharu. Itu sudah cukup menunjukkan mereka berada di landasan yang baik,” katanya.
Sabah sendiri tampil cemerlang dalam pusingan pertama Piala FA apabila membelasah Bunga Raya FC 6-0 di Paroi, dan Alto menegaskan keazaman mereka tetap sama apabila beraksi di Likas.
“Apabila kita bermain di tempat sendiri, sudah tentu kita mahu memastikan tiga mata kekal di Likas,” katanya.