Alumni MPPK tolak cadangan peningkatan had umur persaraan kepada 65 tahun

Alumni MPPK tolak cadangan peningkatan had umur persaraan kepada 65 tahun

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan meningkatkan had usia persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun adalah tidak wajar dilaksanakan ketika ini kerana boleh memberi kesan jangka panjang terhadap prospek pembangunan belia dan keseimbangan dalam pasaran buruh negara.

Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, peningkatan usia persaraan secara langsung akan menyempitkan ruang kemasukan tenaga kerja baharu sekali gus mengurangkan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Menurutnya, statistik menunjukkan pelanjutan usia persaraan daripada 55 kepada 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu yang sepatutnya tersedia untuk graduan dan pencari kerja muda.

“Kini, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun, dan ramai dalam kalangan mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kelayakan.

“Dalam konteks ekonomi semasa, cadangan pelanjutan usia persaraan juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan di sektor swasta yang kini diwajibkan mencarum antara 12 peratus hingga 13 peratus dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi setiap pekerja,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya tempoh perkhidmatan dilanjutkan, majikan akan terus menanggung kos gaji dan caruman yang lebih tinggi untuk pekerja senior yang lazimnya mempunyai struktur gaji yang lebih mahal.

“Keadaan ini akan menjejaskan keupayaan syarikat untuk menggaji tenaga kerja baharu, yang lebih muda, produktif dan responsif terhadap keperluan ekonomi digital serta pasaran global,” katanya.

Muhammad Amir Asyraf berkata, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peningkatan usia persaraan atas alasan ramai individu berusia 60 tahun ke atas masih sihat dan berpengalaman.

Katanya, walaupun niat itu berasaskan penghargaan terhadap pengalaman golongan pekerja senior namun ia perlu diteliti secara holistik agar tidak menjejaskan keseimbangan antara tenaga kerja berpengalaman dan peluang pembangunan untuk generasi pelapis negara.

“Alumni MPPK menegaskan bahawa sebarang perubahan dasar yang membabitkan usia persaraan wajib perlu mengambil kira kesan menyeluruh terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

“Terutama dalam menjamin keterangkuman graduan dalam pasaran buruh serta menyediakan ruang yang adil bagi mobiliti sosial dan ekonomi generasi muda.

“Pembangunan mampan negara amat bergantung kepada kemampuan kita memberi ruang kepada bakat muda untuk berkembang dan menyumbang secara aktif kepada kemajuan negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Azalina dipetik berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, perubahan had usia persaraan itu dilihat wajar kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif dan ada beberapa negara lain turut melaksanakan had usia persaraan sehingga 65 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top