'Alunan ayat al-Quran beri saya tenaga, ketenangan' – Diallo

'Alunan ayat al-Quran beri saya tenaga, ketenangan' – Diallo

London: Walaupun gerakan kakinya sering mengelirukan pertahanan lawan di atas padang, pemain sayap Manchester United, Amad Diallo mendedahkan sumber tenaga sebenarnya datang daripada keimanannya.

Pemain Ivory Coast itu membuka kisah mengenai aspek keagamaan dalam hidupnya, dengan menyatakan komitmennya menunaikan solat harian serta kerap mendengar al-Quran.

Bercakap dalam temu bual bersama saluran rasmi kelab, Diallo menjelaskan rutin paginya.

“Saya bangun sangat awal dan melakukan senaman regangan di rumah. Saya mulakan hari dengan solat dahulu, kemudian apabila tiba di Carrington, saya ambil makanan ringan,” katanya.

Dia turut menjelaskan mengenai pemakanan sebelum perlawanan.

“Jika kami bermain awal, contohnya jam 12 tengah hari, saya akan ambil sarapan. Jika bermain jam 2 petang, saya makan sedikit untuk makan tengah hari,” tambahnya.

Penyerang muda itu juga berkongsi rutin sebelum turun beraksi.

“Sebelum perlawanan, saya suka mendengar al-Quran kerana ia memberi saya tenaga dan membuatkan saya tenang.

“Ia berkaitan dengan agama. Kadang-kadang saya dengar muzik, tetapi kebanyakannya saya lebih suka mendengar al-Quran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top