Alvn raya solo di KL

Alvn raya solo di KL

am@hmetro.com.my

Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina pastinya lebih meriah jika diraikan bersama ahli keluarga tercinta.

Ini masanya untuk berkumpul bersama anggota keluarga yang jauh dan dekat, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sedia ada.

Bagi pelakon, Alvn Chong, 34, dia sudah tiga tahun tidak pulang menyambut Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarganya di Pulau Pinang.

Alvn atau nama sebenarnya, Alvin Chong Chean Wah berkata, dia mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

“Sebenarnya saya sudah tiga tahun tidak pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut Tahun Baharu Cina kerana tiket penerbangan sangat mahal pada musim perayaan dan perbezaan harga juga mencecah 50 peratus dari hari biasa.

“Bagi saya bila balik masa hari perayaan ke Pulau Pinang, bukan sahaja tiket penerbangan mahal, cuaca pula panas di sana dan kita nak keluar ke mana pun susah,” katanya.

Ditanya penerimaan keluarga pula, kata Alvn, mereka sudah biasa dan dapat menerima keputusannya untuk tidak pulang pada hari sambutan Tahun Baharu Cina itu.

“Saya okey saja bila menyambut Tahun Baharu Cina sendirian di Kuala Lumpur. Ahli keluarga juga sudah biasa dan faham perangai saya yang ‘degil’ ini.

“Selalunya saya akan hubungi ahli keluarga terutama ibu dengan buat panggilan video pada malam ‘makan besar’ Tahun Baharu Cina.

“Dari segi makanan pula, saya juga tidak ada masalah kerana boleh buat pesanan menerusi aplikasi Grab Food sahaja,” katanya pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original Sesaat Lebih, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Alvn, dia hanya memilih untuk pulang ke Pulau Pinang selepas musim perayaan.

“Saya akan balik ke Pulau Pinang mungkin selepas seminggu atau dua minggu sambutan Tahun Baharu Cina bergantung pada jadual kerja dan tengok jadual kerjaya seni macam mana.

“Sebenarnya kalau balik ke Pulau Pinang ketika bukan musim perayaan tiket penerbangan pergi balik lebih menjimatkan,” katanya.

Tidak beli baju baru setiap tahun

Berkongsi persiapan pula, kata Alvn, walaupun dia tidak pulang ke Pulau Pinang, dia tetap memastikan segala persiapan ahli keluarganya untuk menyambut perayaan itu sudah lengkap.

“Saya tak balik Pulau Pinang, tapi tetap memberikan wang kepada ahli keluarga untuk buat persiapan dan pastikan untuk mereka beli barang keperluan untuk sambutan perayaan semua sudah lengkap,” katanya.

Bagaimanapun, kata Alvn, dia hanya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina secara sederhana dan tidak membeli pakaian baru pada setiap tahun.

“Kalau ada baju yang dibeli pada tahun lalu dan belum dipakai lagi, saya akan pakai saja baju itu pada tahun ini.

“Saya tak tetapkan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina mesti kena beli baju baru untuk meraikannya,” katanya.

Sementara itu, beralih pada perkembangan karier seni pula, kata Alvn, drama baharu lakonannya berganding dengan pelakon dan penyanyi, Nabila Razali berjudul Sesaat Lebih kini ditayangkan di platform Viu Malaysia.

Kata Alvn, dia menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri arahan Riza Baharudin terbitan Global Station Sdn Bhd kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Saya sudah biasa bekerja dengan produksi Global Station bermula dengan drama pertama di mana saya lakonkan watak utama dalam drama Awak Suka Saya Tak berganding dengan Emma Maembong dan banyak lagi.

“Tapi, ini kali pertama saya berganding dengan Nabila selaku heroin dalam drama bersiri ini. Sebelum ini, saya pernah berlakon dengan Nabila tapi watak sampingan saja dalam drama bersiri untuk stesen TV3,” katanya,

Kata Alvn lagi, ia adalah kali pertama dia melakonkan watak suami yang sudah meninggal dunia pada hari pertama episod cerita berkenaan.

“Saya menangis bila kali pertama baca skrip cerita ini kerana jalan ceritanya menyentuh perasaan.

“Apa yang menarik, penggambaran drama ini juga berlangsung di tempat dan lokasi pelancongan menarik di sekitar Taiwan,” katanya.

Selain Alvn dan Nabila, drama genre komedi romantik Sesaat Lebih sebanyak 12 episod ini turut dibintangi Hazziq Husni, Zila Bakarin, Hawra Jamalullail dan Fahmy Reza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top