Am, Pae sah anggota baru Wings

Am, Pae sah anggota baru Wings

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain bass, Ilham Ishak (Am) dan pemain dram, Pae kini secara rasmi bergelar anggota terbaru kumpulan rock legenda, Wings.

Perkara ini dimaklumkan oleh penyanyi mereka, Datuk Awie pada sidang media konsert Wings Orang Kita, hari ini.

Menurutnya, kehadiran ahli baharu ini adalah misi penting bagi memastikan kelangsungan Wings yang disifatkan sebagai sebuah jenama yang terlalu kukuh untuk dibiarkan rapuh.

“Dengan adanya ahli baru, kita mahu meneruskan perjuangan Wings yang sudah mencecah usia 40 tahun. Wings adalah sebuah band yang teguh dalam industri, jadi sangat rugi kalau kita biarkan ‘sayap’ itu patah.

“Kami bersyukur kerana mendapat ahli yang bukan sahaja berpengalaman, malah cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni.

“Pertemuan kami disifatkan sebagai satu takdir. Pae dipilih secara lantikan terus (handpick) berdasarkan profilnya sebagai pemuzik yang pernah beraksi bersama kumpulan gergasi seperti Search, XPDC dan Amuk,” katanya.

Ilham pula yang sebelum ini aktif sebagai pemuzik kelab malam dipilih menerusi proses uji bakat yang teliti.

“Ilham saya buat uji bakat. Sebaik sahaja melihat dia berdiri dan memetik gitar, saya tahu dia layak.

“Dia masih muda, namun mempunyai kebolehan besar dalam permainan bass selain pernah menjadi pemuzik jemputan untuk band-band besar,” katanya

Awie berkata, Wings kini dalam fasa membentuk ‘gelombang baharu’ atau New Wings dan antara perancangan mereka ialah merakamkan album terbaharu pada Ramadan akan datang.

“Demi memantapkan struktur muzik Wings, kami bersepakat melantik gitaris, Edrie Hashim sebagai pengarah muzik yang bakal menentukan selera muzik untuk album dan konsert akan datang.

“Kami bersetuju melantik ketua yang akan menjaga aspek muzik dan membuka sesuatu yang baharu, lebih elok dan murni. Ini adalah strategi penting untuk membentuk empayar Wings pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Pae bukanlah asing dikalangan peminat kerana bergelar pemuzik untuk band projek Awie iaitu Dragon Malaya.

Pae ketika ditemui menyatakan tekadnya untuk memberikan identiti tersendiri buat Wings tanpa dibayangi pemuzik terdahulu.

“Saya takkan jadi Black, saya takkan jadi Jojet. Saya akan jadi Pae. Saya akan bawa karakter sendiri supaya Wings ini tidak terkeluar daripada landasannya,” katanya.

Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, peminat dikejutkan dengan pengumuman pengunduran dua anggota asal Wings iaitu pemain dram, Black dan pemain bass, Eddie daripada kumpulan terbabit.

Mereka juga mengumumkan tidak akan beraksi dalam Konsert Wings 40 Tahun yang berlangsung di IdeaLive Arena, pada 28 November dan selepas itu di Singapura.

Am dan Pae kemudiannya dipilih mengambil posisi mereka dalam konsert itu.

Dalam pada itu, Konsert Wings Orang Kita akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top