mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Punca sebenar pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, menunjukkan reaksi marah selepas perlawanan persahabatan menentang Asean All-Stars akhirnya terjawab.
Terdahulu, pemain berusia 22 tahun itu mengejutkan peminat apabila dilihat menunjukkan isyarat jari tengah kepada penyokong ketika kembali ke hotel penginapan pasukan.
Insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penyokong Red Devils, malah turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Menurut seorang individu dikenali sebagai Chun Hang, tampil menjelaskan bahawa kemarahan Amad berpunca daripada tindakan segelintir penyokong yang memanggilnya dengan nama “Diallo”.
Menurutnya, nama itu membawa trauma kepada Amad kerana dipercayai pernah dikaitkan dengan sejarah pahit melibatkan sindiket penyeludupan kanak-kanak.
“Amad hanya bertindak balas apabila dipanggil ‘Diallo’. Nama itu menghantui beliau sejak dulu dan menjadi kenangan pahit yang tidak mahu diungkit lagi,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Chun Hang mendakwa Amad pernah menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan kini lebih selesa dikenali dengan nama pertamanya sahaja.
“Dia mahu dikenali sebagai Amad, bukan Diallo. Jadi tolong hormati permintaan itu,” tambahnya.
Difahamkan, pihak komunikasi Manchester United juga sudah meminta semua media dan pempengaruh media sosial supaya hanya merujuk pemain itu sebagai ‘Amad’.
Seorang pengguna X bernama Dylan turut berkongsi perkara itu, selepas menerima arahan rasmi daripada kelab mengenai penggunaan nama pemain berkenaan dalam liputan media.
Terdahulu, Amad dan Alejandro dan Garnacho mencipta sensasi apabila menunjukkan isyarat lucah sebaik tamat perlawanan Manchester United menentang Asean All Stars.
© New Straits Times Press (M) Bhd