MENZIARAHI kubur adalah perkara yang sunat dan sangat dianjurkan kepada umat Islam supaya umat memperoleh peringatan mengenai hakikat kematian.
Anjuran ini bertambah apabila diziarahi itu kubur orang soleh yang diharapkan pengunjung memperoleh keberkatan dan mengambil iktibar daripada kesolehan mereka serta cara hidup mereka.
Namun, ziarah ini mesti dilakukan berserta adab dinyatakan ulama supaya amalan kebaikan ini tidak bertukar menjadi suatu yang tercela.
Adab menziarahi kubur
1. Meninggalkan perbualan kosong di tanah perkuburan.
2. Wanita pula hendaklah keluar dengan pakaian sopan yang menolak pandangan orang berhawa nafsu.
3. Memberi salam seperti yang diajarkan Nabi SAW dalam hadis yang sahih: “Selamat sejahtera ke atas kamu semua penduduk negeri orang beriman. Dan telah datang akan kamu apa yang telah dijanjikan akan kamu. Dan hari esok akan tertunai. Dan kami semua insya-Allah akan bertemu dengan kamu sekelian.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
4. Atau dengan bacaan lain: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur. Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
5. Berdiri dengan tenang sambil menghadap si mati.
6. Memohon kepada Allah SWT supaya diterima amalan baik yang dilakukan si mati serta diampuni segala dosanya.
7. Memohon rahmat kepada si mati dan memohon supaya rasa asing dan bersendiriannya dia tidak berpanjangan dengan Allah mengurniakan kepadanya peneman di kuburnya berupa amalan solehnya.
8. Mengelakkan daripada mengusap-usap, mencium batu nisan supaya tidak menimbulkan fitnah.
9. Walaupun tidak dinafikan perkara ini ada khilaf padanya kerana sebahagian ulama menganjurkannya dan sebahagian menghukumnya sebagai makruh. Kata al-‘Allamah Ba’isyen dalam Busyra al-Karim: “Dan pada hukum mencium kuburan para wali terdapat khilaf, ia makruh di sisi imam Ibn Hajar dan sunah di sisi imam al-Ramli.
10. Atas dasar mengeluarkan diri daripada khilaf dan pintu fitnah awam yang jahil, sebaik-baiknya ia dielakkan, pada masa sama hendaklah orang yang menziarahi kubur itu mengambil maklum akan khilaf terdapat dalam isu ini dan tidak mudah menyesatkan atau mensyirikkan pihak melakukannya serta hendaklah dia bersangka baik kepada saudara semuslimnya.
Maksud sebenar di sebalik menziarahi kubur orang soleh dan bertabarruk padanya
Al-Allamah Muhammad Alawi al-Maliki menyebutkan: Sebelum kita menjelaskan dalil dan bukti yang menunjukkan keharusan, bahkan pensyariatan amalan ini (iaitu tabarruk), hendaklah kita fahami bahawa tabarruk itu tidak lain hanyalah satu bentuk tawassul kepada Allah SWT melalui sesuatu yang dijadikan perantara sama ada ia berupa peninggalan (kesan), tempat atau individu.
Adapun individu (al-ayan) maka mereka dihormati kerana diyakini mempunyai kelebihan serta kedudukan yang hampir dengan Allah SWT, namun pada masa sama, diyakini juga bahawa mereka tidak mampu membawa manfaat atau menolak mudarat kecuali dengan izin Allah semata-mata.
Kesan atau peninggalan pula dihormati kerana dikaitkan dengan individu berkenaan. Maka ia menjadi mulia dan dimuliakan disebabkan oleh kemuliaan orang yang disandarkan kepadanya. Ia dihargai, dicintai dan diagungkan kerana keterkaitannya itu.
Adapun tempat, ia tidak memiliki kelebihan secara zat semata-mata sebagai sebuah lokasi. Tetapi, kelebihannya datang kerana apa yang berlaku di dalamnya seperti kebaikan, keberkatan, amalan solat, puasa, dan segala bentuk ibadah dilakukan hamba Allah yang soleh. Sesungguhnya tempat ini menjadi medan turunnya rahmat, kehadiran malaikat dan limpahan ketenangan.
Ini keberkatan yang dimohon daripada Allah di tempat yang dimaksudkan. Keberkatan ini dimohon dengan cara menghadirkannya di tempat berkenaan dengan menghadap (tawajjuh) kepada Allah, berdoa kepada-Nya, memohon keampunan-Nya serta mengingati peristiwa besar dan kesempatan mulia yang pernah berlaku di tempat itu yang membangkitkan jiwa, menyemarakkan semangat dan mendorong seseorang untuk meneladani golongan pernah berada di situ iaitu golongan berjaya dan soleh.
Hukum mengambil tanah dari tanah perkuburan wakaf
Disebutkan di dalam Himpunan Fatwa Imam al-Ramli, soalan yang berbunyi: Imam al-Ramli ditanya mengenai seseorang yang mengambil tanah dari sebidang tanah wakaf: Apakah yang wajib ke atasnya?
Beliau (Imam al-Ramli) menjawab: Wajib ke atasnya untuk mengembalikan tanah itu jika masih ada. Jika tidak, maka dia wajib menggantinya dengan yang seumpamanya serta membayar ganti rugi atas kekurangan nilai tanah tersebut. Semua itu menjadi hak bagi pihak yang diwakafkan kepadanya.
Menceritakan hal positif berkenaan jenazah umat Islam
Imam Ibn Abi Al-Dunya dalam kitab beliau, ‘Zikrul Maut’ mengkhususkan beberapa bab berkaitan perkara ini seperti bab: Fi Karamat Ba’dh Al-awliya’ Wa Al-solihij Inda Mautihim/bab pada menyatakan karamah yang berlaku pada sebahagian wali dan orang soleh ketika kematian mereka.
Fi Zikr Mahasin Al-mauta Wa Al-bu’dh An Zikri Sayyiatihim/bab pada menyatakan kebaikan si mati dan menjauhkan daripada menyebut keburukannya.
Antara kisah disebutkan Imam Ibn Abi Al-Dunya ialah: Diriwayatkan daripada al-Hasan, beliau berkata: Harim bin Hayyan, seorang tabiin masyhur meninggal dunia pada suatu hari yang panas terik. Setelah selesai pengebumian, datang sekumpulan awan sebesar ukuran kuburnya menaunginya dan menurunkan hujan seketika, kemudian berlalu.
Bahkan ini tradisi ulama zaman berzaman, apabila mereka sentiasa menghikayatkan kisah dan hal ehwal kewafatan orang soleh untuk diambil iktibar dan penyuntik semangat dalam beramal.
Kata Syeikh Muhammad al-Zuhaili: “Disunatkan bagi orang yang memandikan jenazah untuk menceritakan perkara baik yang dilihat, seperti wajah yang bercahaya atau bau yang harum.
Kewajipan menjaga perilaku di kuburan supaya tidak menimbulkan fitnah
Menjaga adab dan perilaku di kawasan kubur suatu kewajipan yang penting dalam Islam, khususnya bagi pendakwah, ahli ilmu dan sesiapa sahaja yang menjadi ikutan masyarakat. Ini kerana perbuatan boleh disalahtafsirkan pengagungan yang melampau terhadap kubur seperti meraba-raba dan mengusap kubur dan sebagainya boleh menimbulkan salah faham serta fitnah dalam kalangan masyarakat awam yang kurang ilmu.
Mereka mungkin menyangka perbuatan terbabit adalah pengagungan dituntut dalam Islam, dikhuatiri mereka akan menirunya tanpa kefahaman yang benar, tanpa iktikad yang betul lantas membuka ruang kepada amalan dan kepercayaan yang boleh membawa kepada kegelinciran akidah. Oleh itu, walaupun jika niat seseorang itu semata-mata untuk mengambil berkat atau menzahirkan kasih kepada para wali, ia tetap perlu diteliti daripada sudut kesannya terhadap pemahaman masyarakat umum. Prinsip ‘sadd al-zariah’ (menutup pintu kepada kerosakan) menuntut amalan yang boleh membawa kekeliruan akidah dielakkan demi menjaga kemurnian tauhid dan menghindari fitnah terhadap agama.
Kata Al-Allamah Al-Syarwani dalam Hasyiah beliau ke atas Al-Tuhfah: “Sewajarnya orang yang diikuti perbuatannya itu tidak melakukan perbuatan seperti mencium kubur para wali di hadapan orang awam yang jahil, yang tidak dapat membezakan antara tazim dan tabarruk. Dan Allah lebih mengetahui.”
Kesimpulan
Berdasarkan pedoman dan panduan ulama yang dinukilkan di atas maka hendaklah umat Islam memperbanyakkan amalan menziarahi kubur terutama kubur orang soleh dalam keadaan ia dilakukan dengan adab dan lunas panduan syarak. Pada masa sama hendaklah umat Islam berhati-hati daripada menyalahkan perkara yang dianjurkan dalam Islam seperti menyebut kebaikan si mati, perkara baik berlaku kepada si mati dan tidak melihat perkara itu sebagai suatu yang tidak berasas. Umat Islam juga hendaklah tidak mudah menyesatkan atau membidaahkan amalan bertabarruk atau amalan lain yang mereka kurang mempunyai kefahaman terhadapnya bahkan perlu sentiasa bertanya dan belajar kepada alim ulama untuk mendapat kefahaman yang sebenar tentangnya. Wallahuaklam.
Penulis Mufti Pahang
© New Straits Times Press (M) Bhd