'Amalan bertukar-tukar pemberian ini eratkan hubungan kami'

'Amalan bertukar-tukar pemberian ini eratkan hubungan kami'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sudah menjadi amalan kami sekeluarga sejak 2007 untuk menghantar juadah kepada jiran berbangsa Cina setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” kata Mastura Ramali, 41.

Mastura berkata, amalan itu dilakukannya bersama bapa mentua, Aini Zaini, 77, dan ibu mentua, Melati Udin, 69, yang tinggal bersama dia dan suaminya, Nasri Aini, 43.

“Suami yang bekerja sebagai pegawai penjara membeli rumah di taman perumahan di Jalan Sukun, Sibu, Sarawak pada 2007. Sejak itu, bapa dan ibu mentua tinggal bersama kami.

“Kebanyakan jiran di deretan hadapan rumah kami berbangsa Cina. Disebabkan itu, kami akan hantar juadah kepada jiran (Cina) setiap tahun sebelum mereka ‘makan besar’.

“Tahun lalu, kami hantar lauk ayam masak merah masakan ibu (mentua). Pada tahun ini, kami hantar juadah kari ayam kepada jiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jirannya yang berbangsa Cina juga memberikan cenderahati kepada keluarganya setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Ada antara mereka (jiran) yang beri minuman kotak, hamper dan buah. Mereka tidak beri juadah kerana faham batas agama iaitu dari segi status halal.

“Amalan bertukar-tukar pemberian ini mengeratkan hubungan kami dengan jiran meskipun berbeza kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Katanya, sepanjang menetap di taman perumahan itu, mereka tidak pernah berdepan sebarang masalah dengan jiran dan menyifatkan jirannya amat baik.

“Kami sekeluarga memang suka bersedekah terutama kepada jiran memandangkan mereka adalah individu yang paling dekat dengan kita.

“Ibu mentua juga selalu pesan, berbaiklah dengan jiran kerana sekiranya apa-apa berlaku kepada kita, mereka adalah orang pertama yang dulu sampai kerana dekat,” katanya.

Terdahulu, Mastura memuat naik video berdurasi satu minit 58 saat di TikTok yang memaparkan bapa dan ibu mentuanya mengagihkan juadah kepada jiran mereka berbangsa Cina.

Mengulas mengenai video berkenaan, Mastura yang juga guru berkata, dia memuat naik video itu bagi berkongsi amalan positif kepada masyarakat.

“Sebagai masyarakat yang tinggal di negara berbilang kaum, bangsa dan agama, kita harus menjaga hubungan baik antara jiran.

“Bagi saya mendapat jiran yang baik juga adalah salah satu rezeki dalam hidup kita. Disebabkan itu, menjaga hubungan silaturahim antara jiran amat penting,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top