Amalan tabayyun elak kerosakan & pengkhianatan

Amalan tabayyun elak kerosakan & pengkhianatan

Sebagaimana dimaklumi, iblis dan syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia dengan pelbagai cara terutama bagi mereka yang tidak mementingkan ilmu dalam kehidupan. Kadangkala seseorang itu berniat baik menyebarluaskan kebaikan untuk dikongsi dengan masyarakat, namun niat baik sahaja tidak memadai jika tidak berilmu.

Hal ini disebabkan orang yang tidak berhati-hati dalam soal keilmuan begitu mudah melakukan sesuatu atau terlibat dengan penyebaran hadis palsu sama ada secara sengaja ataupun tidak.

Oleh yang demikian, berwaspada itu sifat yang perlu ada sebelum menyebarkan hadis agar tidak terperangkap dengan tipu daya syaitan dan belitan iblis.

Penyebaran hadis palsu sesuatu yang amat mendukacitakan kerana ia adalah suatu bentuk pendustaan kepada Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW sendiri telah melarang keras perbuatan tersebut, sebagaimana hadis nabi SAW bermaksud: “Sesiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka” Hadis Riwayat al-Bukhari.

Secara terminologinya, hadis palsu atau dalam bahasa Arabnya dikenali sebagai hadith maudu’ adalah sesuatu yang disandar kepada Nabi Muhammad SAW sama ada perbuatannya, perkataannya, taqrirnya, sifat akhlaknya atau sifat semula jadinya, secara rekaan atau dusta semata-mata.

Secara lebih jelas lagi, hadis palsu boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang tidak pernah datang daripada Nabi Muhammad SAW sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan atau taqrir, tetapi disandarkan kepada baginda SAW sama ada secara sengaja atau tersalah, jahil atau secara khianat.

Wujudnya golongan dalam masyarakat mengambil sikap tidak endah atau tidak perduli dengan kepentingan menilai kesahihan sesuatu hadis itu menyebabkan hadis palsu semakin berleluasa pada hari ini. Apatah lagi dengan kemudahan teknologi Tiktok, WhatsApp, Facebook, Twitter, Wechat, Line dan apa jua medium maya yang ada memudahkan lagi penyebaran hadis palsu.

Sebagai contohnya, hari ini didapati setiap kedatangan bulan Hijrah, ada saja hadis palsu disebar di alam maya secara berleluasa.

Contohnya hadis palsu yang sering disebarkan ialah….Rasullullah bersabda: “Barang siapa yang memberitahukan berita 1 Zulhijah kepada yang lain, maka haram api neraka baginya.” Apabila datang pula bulan Muharam ‘hadis’ yang sama disebar luaskan pula iaitu … Rasullullah bersabda: “Barang siapa yang memberitahukan berita 1 Muharram kepada yang lain, maka haram api neraka baginya.” Begitulah seterusnya.

Penyebaran hadis palsu seumpama ini sesuatu yang merosakkan kerana ia pengkhianatan dan pendustaan kepada Nabi SAW.

Selain itu, ia akan turut menyebabkan umat Islam melakukan amalan tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang akhirnya membawa fitnah kepada umat Islam.

Namun persoalannya mengapa begitu mudah hadis palsu disebarkan? Ada banyak faktor, antaranya ialah ada individu yang mempunyai sikap ‘ambil mudah’ dan menerima apa sahaja disandarkan kepada Nabi SAW untuk diamalkan dalam kehidupan seharian dengan menganggap ia sunah Rasulullah SAW. Justeru, daripada golongan ini, kita dapati mereka daripada jenis manusia yang hanya suka menerima secara membuta tuli dan beramal dengan sesuatu yang dikatakan bahawa ia hadis Rasulullah tanpa mempedulikan sama ada ia datang daripada hadis yang sahih, daif mahupun hadis palsu!

Sehubungan dengan itu, umat Islam yang cerdik akan sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu hadis palsu.

Penyelesaian kepada kemelut penyebaran hadis palsu ini adalah dengan kita mengambil jalan selamat daripada terus terperdaya dengan tipu daya iblis dan syaitan.

Pertama sekali yang perlu dilakukan ialah meneliti terlebih dahulu hadis disampaikan melalui rujukan kepada golongan pakar dan golongan yang berilmu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 7 yang bermaksud: “Maka bertanyalah kamu kepada golongan berilmu jika kamu tidak mengetahui.”

Boleh juga dirujuk pada kitab hadis untuk mengetahui status sesuatu hadis.

Imam Ibn Hajar al-Asqalani meyatakan di dalam ‘Nuzhah al-Nazar’ bahawa tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui keadaan atau kedudukan perawi (sanad) dan juga isi kandungan periwayatan (matan).

Antara tanda hadis palsu pada sanad dapat diperhatikan melalui beberapa perkara berikut:

l  Terdapat perawi yang sememangnya seorang pendusta dan dia dikenali sebagai seorang pendusta hadis. Malah, hadis yang diriwayatkannya itu tidak pula diriwayatkan perawi yang thiqah yang lain

l Pengakuan yang dilakukan oleh pemalsu hadis. Dia mengaku bahawa dia memalsukan sesebuah hadis.

l  Kenyataan secara tidak langsung daripada perawi yang boleh difahami sebagai pengakuan mendustakan hadis. Contohnya, seorang perawi meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang syeikh, maka ditanya akan tarikh kelahirannya, ternyata tarikh kematian syeikh tersebut sebelum kelahirannya.

Antara tanda hadis palsu pada matan pula iaitu sebagaimana disebut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyah dapat diperhatikan melalui beberapa perkara berikut:

l  Matan hadis bercanggah dengan nas al-Quran.

l Matan hadis bercanggah dengan nas hadis yang sahih.

l Matan hadis mengandungi sesuatu yang mustahil dan ditolak oleh akal yang waras.

l  Terdapat unsur janggal/keterlaluan yang membuktikan ia bukan daripada hadis Rasulullah SAW.

l  Matan mengandungi perkara buruk dan bahan ketawa.

l Matan hadis jelas bercanggah dengan sunah sahih.

Seterusnya, setelah dikenal pasti sesuatu hadis itu tidak thabit daripada Nabi SAW, maka menjadi suatu kewajipan untuk tidak menerimanya sebagai suatu hadis dan ia tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW. Menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk menolak periwayatan hadis palsu kerana ia suatu fitnah kepada Nabi SAW.

Menolak periwayatan hadis palsu tidak bermakna perlu ditolak segala ‘unsur baik’ yang terdapat dalam teks hadis tersebut. Hal ini kerana jika ia bukan hadis Nabi SAW sekalipun, mungkin juga ia merupakan kata-kata hikmah yang benar dan baik. Cumanya ia tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW kerana baginda tidak pernah mengucapkannya.

Justeru, contohnya kata-kata hikmah ‘awal agama mengenal Allah’ itu sekiranya ia disandarkan kepada Nabi SAW maka ia akan menjadi hadis palsu.

Sekiranya diambil sebagai kata-kata hikmah, tidak ada salahnya pada kata-kata hikmah itu. Malahan bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 19 bermaksud: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa orang beriman lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) serta keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

Selain itu, sifat kewaspadaan perlu ada sebelum meyebarkan sesuatu yang sampai kepada kita yang dinyatakan sebagai hadis Nabi SAW. Usah terlalu mudah menyebarkan sesuatu yang tidak dikenal pasti kesahihannya. Gunakalah konsep ‘tabayyun’ iaitu selidik terlebih dahulu apa jua berita yang sampai sebelum berkongsi dengan orang lain. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran melalui Surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa kamu lakukan.”

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top