Amalan yang digalakkan ketika sambut Aidiladha

Amalan yang digalakkan ketika sambut Aidiladha

Foto hiasan.

DISUNATKAN bertakbir bagi lelaki dan perempuan. Bagi kaum lelaki disunatkan menyaringkan suaranya, manakala bagi kaum wanita hendaklah bertakbir perlahan-lahan. Bagi orang yang tidak mengerjakan haji, mula bertakbir pada subuh hari Arafah iaitu tanggal yang ke sembilan Zulhijjah hingga Asar hari tasyrik yang ketiga.

Advertisement

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa bulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuknya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah :185)

Menghidupkan malam-malam raya dengan melakukan ketaatan kepada Allah iaitu dengan melakukan ibadah seperti berzikir, berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, membaca al-Quran, bertakbir, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.

Sebaik-baiknya ia dilakukan pada sepertiga malam terakhir dan yang lebih utama dilakukan sepanjang malam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Siapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan malam Aidiladha dengan penuh keikhlasan hatinya tidak akan mati sedangkan hati-hati lain telah mati.” (Riwayat At-Tabrani dan Ad-Dar Qutni)

Membanyakkan berdoa kerana berdoa pada malam raya sangat-sangat mustajab, sepertimana berdoa di malam Jumaat, diawal Rejab dan Nisfu Syaaban sangat diperkenankan doa hamba-hamba-Nya.

Disunatkan mandi pada pagi hari raya, memakai baju yang cantik dan memakai minyak wangi kerana berqiaskan kepada hari Jumaat yang disunatkan mandi dan memakai baju yang cantik serta memakai minyak wangi.

Berdasarkan kepada hadis Nabi yang meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. Begitu juga Saiyidina Ali dan Saiyidina Umar r.a.huma yang mandi sebelum pergi menunaikan solat ‘aid. (Riwayat Ibnu Majah)

Sunat pergi lebih awal ke tempat solat dengan berjalan kaki jika tidak ada keuzuran sebelum terbit matahari supaya ia dapat duduk berdekatan dengan imam, moga-moga mendapat pahala yang banyak. Saiyidina Ali r.a. berkata yang bermaksud: “Daripada sunnah bahawa seorang itu keluar untuk solat al-‘aid dengan berjalan kaki.’ (Riwayat At-Tirmizi). Dan juga kerana Nabi saw tidak menaiki kenderaan ketika pergi ke solat al-‘aid.

Disunatkan pergi ketempat solat al-‘aid ikut jalan lain manakala baliknya ikut jalan yang lain kerana ikut sunaah Nabi tujuannya supaya kedua-dua jalan ini menjadi saksi kepada yang pergi solat ataupun untuk mendapat pahala yang lebih. (Riwayat al-Bukhari)

Disunatkan makan dahulu sebelum solat Aidilfitri manakala di Aidiladha disunatkan makan selepas solat Aidiladha. Anas bin Malik r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pergi solat Aidilfitri kecuali setelah makan beberapa biji tamar. Dan Nabi s.a.w tidak makan pada Aidiladha melainkan selepas solat. (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Disunatkan memperbanyakkan amal-amal kebajikan pada sepuluh awal Zulhijjah dengan melakukan puasa sunat, banyakkan bersedekah kerana tanggal sepuluh awal Zulhijjah adalah hari yang afdal berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah daripada hari sepuluh awal daripada Zulhijjah.” Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah  jihad fisabilillah pun tidak sama.” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ya jihad fisabilillah pun tak sama. Kecuali seorang yang keluar dengan sendiri dan dengan hartanya, kemudian dia tidak pulang dengan sesuatu daripadanya.” (Riwayat Jamaah kecuali Muslim dan Nasa’i)

Disunatkan bagi orang yang hendak mengerjakan ibadah korban tidak memotong kukunya dan tidak memotong atau mencukur rambutnya pada tanggal sepuluh awal daripada bulan Zulhijjah. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Apabila masuk tanggal ke sepuluh awal daripada Zulhijjah dan kamu hendak melakukan korban maka jangan dia potong rambutnya dan jangan dia potong kukunya.” (Riwayat Muslim)

Ibadah korban iaitu dengan menyembelih binatang seperti unta, kambing dan lembu untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Hukumnya adalah sunat muakkad kepada orang yang mampu mengadakannya.

Berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Nabi s.a.w telah menyembelih dua ekor kibas berwarna putih yang mempunyai dua tanduk dan Nabi sendiri menyembelih kedua-dua kibas tersebut.

Waktu menyembelih binatang korban itu ialah selepas solat Aidiladha setelah naik matahari kadar segalah sehingga hari tasyrik yang ketiga. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya mula-mula ketika mulakan pada hari itu (Aidiladha) hendaklah kita solat kemudian kita pulang dari solat lalu kita sembelih korban. Maka siapa yang melakukan yang demikian itu telah menepati sunnahku. Dan sesiapa yang menyembelih (binatang korban) sebelumnya maka sesungguhnya dagingnya itu diberikan kepada ahlinya dan bukan daripada ibadah (korban) sedikitpun.”

DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi As-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/6/2023

Scroll to Top