Himpunan anjuran pembangkang yang berlangsung secara aman semalam menjadi bukti bahawa kerajaan MADANI berjaya memelihara dan meraikan ruang demokrasi di negara ini.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, berkata himpunan tersebut mencerminkan kematangan budaya politik nasional serta kemampuan kerajaan untuk mengurus perbezaan pandangan secara terbuka dan bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan hari ini berbeza daripada era lalu yang menyekat suara rakyat melalui tindakan keras dan menjenayahkan perbezaan pendapat.
“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pentadbiran MADANI menjadikan prinsip demokrasi sebagai amalan sebenar, bukan sekadar retorik. Ruang untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan kini dilindungi serta dihormati.
Adam berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyambut baik penganjuran himpunan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertugas di lapangan.
Menurutnya, kehadiran anggota keselamatan tanpa kelengkapan rusuhan mencerminkan kematangan institusi keselamatan negara dalam mengurus demokrasi.
Artikel lain: “Saya tak dijemput” -PM Anwar jawab soal kehadiran di himpunan pembangkang
Himpunan pembangkang bukti kematangan demokrasi
Beliau turut menjelaskan bahawa cita-cita MADANI bukan sahaja tertumpu kepada hak sivil, tetapi turut merangkumi usaha menyeluruh untuk menjamin kehidupan rakyat, termasuk dalam aspek kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan dan pembasmian kemiskinan.
Adam turut mempersoalkan kemampuan pembangkang untuk memainkan peranan secara bertanggungjawab dan mendidik penyokong mereka menjadi celik demokrasi.
Beliau berkata, kerajaan hari ini sedang giat memulihkan negara pasca pandemik, manakala pembangkang pula masih ketandusan hala tuju.
“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju.
“Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi,” katanya lagi.
Adam turut menegaskan bahawa kepimpinan Anwar berjaya mengembalikan keyakinan dunia terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Sumber: FB Adam Adli