am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aman Palestin berharap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan melucut hak wang dalam 12 akaun bank serta jongkong emas miliknya dapat mengembalikan persepsi positif masyarakat terhadap pertubuhan itu.
Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata beliau bersyukur dengan keputusan yang memihak kepada Aman Palestin selepas melalui proses perundangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau berkata, Aman Palestin sememangnya memilih untuk membersihkan namanya melalui jalan perundangan.
“Saya berharap dengan keputusan yang diterima ini dapat mengembalikan persepsi positif daripada masyarakat terhadap Aman Palestin.
“Saya berasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia, apatah lagi dalam keadaan sukar yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Abdullah turut mengajak masyarakat melihat semula hasil dan pembangunan yang dijayakan Aman Palestin sepanjang 22 tahun lalu sehingga kini.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik, manakala Aman Palestin memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.
“Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan melontarkan persepsi negatif untuk memutarbelitkan cerita.
“Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa menyokong serta mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang RM21 juta dan AS$139,650.68 dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin serta jongkong emas seberat satu kilogram.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun bank dan pembelian jongkong emas berkenaan sebagai perlakuan salah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Mahkamah turut mendapati aset berkenaan tidak dapat dikaitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan sebelum ini memohon perintah pelucuthakan terhadap 12 akaun bank berkenaan pada 15 November 2024 mengikut Subseksyen 56(1) AMLATFPUAA.
Selepas keputusan itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon pelaksanaan perintah mahkamah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Dalam pada itu, Abdullah turut berterima kasih kepada barisan peguam bela diketuai Datuk Zamani Ibrahim, Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk M Athimulan yang bertungkus-lumus dalam kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
