am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan pelawak veteran, Sathiya, 62, bertambah baik dan kini berehat di kediamannya di Wangsa Maju, di sini, selepas menjalani pembedahan kaki kirinya yang dipotong hingga atas paras lutut pada 10 Mac lalu.
Anak perempuannya, Amani Nair Satya, 37, berkata bapanya masih perlu menjalani rawatan susulan termasuk proses mencuci luka sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Ampang.
“Ayah sihat dan keadaannya okay. Dia masih menjalani rawatan dan proses mencuci luka seperti biasa. Dari segi pemakanan, ayah masih berpantang.
“Memandangkan ayah baru sahaja selesai menjalani pembedahan, doktor tetapkan untuk check-up (pemeriksaan susulan) pula dilakukan setiap dua minggu sekali di Hospital Ampang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut mengenai penjagaan bapanya, Amani berkongsi dia dan adiknya berganding bahu bagi memastikan urusan rawatan bapanya di hospital berjalan lancar.
“Saya dan adik akan membawa ayah ke hospital bersama-sama. Memandangkan kami berdua memikul tanggungjawab ini, adik akan mengambil cuti atau menukar hari bekerja, manakala saya pula memang seorang suri rumah.
“Ibu dan adik ada bersama untuk memantau dan menjaga ayah di rumah Wangsa Maju,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulur sumbangan ke akaun CIMB 7002807503 atas nama Sathival Periasamy.
Terdahulu, pembedahan pada kaki kiri Sathiya yang dipotong hingga di atas paras lutut dilakukan sebagai langkah bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian anggota badan yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




