lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dia mahu memarahi sahabat baiknya kerana merahsiakan penyakit kanser tahap empat yang dihidapi.
Namun amarah yang terbuku di dada eksekutif universiti swasta itu lebur sebaik sahaja melihat susuk tubuh sahabatnya yang cengkung dan tidak bermaya di muka pintu.
Saat itu, Mohd Husin Abd Rahman, 45, tidak mampu lagi menahan sebak dan air matanya tumpah saat memeluk erat sahabat baiknya sejak di bangku sekolah, Saiful Adli Saharudin dalam pertemuan pada 27 Jun lalu yang akhirnya menjadi salam terakhir mereka.
“Saya memang nak marah dia. Kenapa saya tak tahu perkara ini terus dari mulut dia. Tapi bila saya nampak dia di pintu, dari nak marah, saya rasa ya Allah, kawan aku.
“Saya cuba kawal air mata, tapi memang tak boleh. Dia macam adik-beradik saya. Kami kongsi semua suka duka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Momen pilu itu dirakam dalam video dan tular di media sosial bukan sekadar memaparkan keakraban dua sahabat, tetapi turut merakam penderitaan Saiful Adli yang bertarung nyawa melawan kanser esofagus.
Video berdurasi 2 minit 30 saat yang memaparkan Mohd Husin memeluk erat dan memimpin tangan sahabatnya itu meraih lebih 69 ribu tontonan setakat jam 11 pagi tadi.
Mohd Husin berkata, persahabatan mereka yang terjalin sejak tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist Sentul, bertambah akrab selepas seorang lagi rakan karib mereka, Fairuz Nizam Husain terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 2015.
Menurutnya, Saiful Adli atau lebih mesra disapa ‘Gaban’, disifatkan sebagai seorang penghibur dalam kalangan rakan-rakan.
“Dalam kumpulan mesej WhatsApp, dia adalah penghibur. Kalau dia ada, memang meriah.
“Tapi tiba-tiba pada Februari lalu, dia jadi senyap. Rupa-rupanya, dia dah mula sakit,” katanya.
Katanya, Gaban disahkan menghidap kanser esofagus tahap empat pada 15 Mei, namun memilih untuk merahsiakannya daripada Mohd Husin.
“Dia kata, ‘Aku bukan tak nak bagi tahu kau, Husin. Aku tahu kalau kau tahu, macam mana sedihnya engkau, aku tahu.’ Sebab tulah dia tak nak cerita.
“Selepas pertemuan pada 27 Jun itu, keadaan Gaban semakin merosot.
“Badannya yang dahulu seberat 70 kilogram, susut kepada hanya 40 kilogram kerana tidak mampu menelan makanan,” katanya menahan sebak.
Pada pagi 22 Julai, Mohd Husin menerima berita pemergian sahabatnya itu.
Namun, dia dan rakan-rakan lain tidak sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir kerana jenazah terpaksa disegerakan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Masjid Al-Falah Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.
“Kenangan yang paling tak boleh kami lupa adalah ketika arwah kawan kami, Ijam (Fairuz Nizam) meninggal akibat kemalangan.
“Gaban dan saya bertungkus-lumus menyelesaikan banyak perkara. Sekarang, saya kehilangan kedua-dua kawan yang saya paling rapat.
“Saya dan rakan-rakan sedang dalam usaha mengumpul dana dan insya-Allah kita akan serahkan dana berkenaan kepada balu dan anak lelaki tunggal arwah sebagai tanda sokongan pada minggu depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




