Amaran awal Alcaraz

Amaran awal Alcaraz

London: Carlos Alcaraz melepasi halangan sukar dalam perlawanan pusingan pertama menentang Adam Walton di kejohanan Queen’s semalam ketika pilihan utama itu kembali beraksi buat pertama kali sejak kejayaan dramatiknya di Terbuka Perancis.

Namun dua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia Taylor Fritz dan Ben Shelton dari Amerika Syarikat tersingkir selepas tewas kepada pemain Perancis, Corentin Moutet dan Arthur Rinderknech.

Alcaraz yang kembali beraksi di gelanggang rumput buat pertama kali sejak memenangi gelaran Wimbledon keduanya tahun lalu, menewaskan lawannya yang berada di ranking ke-86 dunia dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/4) dalam cuaca panas di barat London.

Pemain Sepanyol itu, yang menewaskan Jannik Sinner dalam pertarungan lima set di Roland Garros hanya sembilan hari lalu, mematahkan servis Walton pada permainan ketujuh dan seterusnya memenangi set pertama menentang Walton yang menggantikan Alejandro Davidovich Fokina yang menarik diri akibat sakit.

Juara Queen’s 2023 itu kelihatan menemui rentaknya, namun Walton bangkit dengan hebat dan berjaya mencipta dua mata set ke atas servis Alcaraz dalam permainan ke-10.

Namun pemain Australia itu gagal memanfaatkannya, dan Alcaraz menyamakan kedudukan sebelum menang dalam tie-break yang menyusul.

Alcaraz menulis “Musim rumput, mari kita mulakan!” pada lensa kamera di tepi gelanggang, mengucapkan terima kasih kepada penyokong atas sorakan mereka dan berkata dia berasa “disayangi” di London.

“Perlawanan pertama di atas rumput memang tidak mudah. Perlu membiasakan diri dengan rentak pertandingan dan dengan gelanggang rumput,” katanya.

“Jadi, saya cuma nak ucapkan terima kasih kerana membantu saya sedikit.”

Pemain nombor dua dunia itu berkata dia mengambil masa untuk berehat daripada tenis selepas kejayaan fizikal dan mental di Terbuka Perancis bagi “menyegarkan” fikirannya.

“Saya sangat gembira dengan persembahan saya hari ini,” katanya. “Untuk perlawanan pertama, saya rasa hebat. Sudah tentu, masih banyak perlu diperbaiki, banyak perkara perlu saya kerjakan supaya lebih selesa bermain di atas rumput. Tapi secara keseluruhan, saya gembira dapat mara ke pusingan seterusnya.”

Alcaraz selepas ini akan menentang rakan senegaranya, Jaume Munar yang menewaskan pemain nombor empat dunia, Taylor Fritz 6-7 (5/7), 7-6 (9/7), 7-5.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top