PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan bahawa skuad berbasikal lebuh raya negara tetap akan menyertai Sukan SEA 2025 di Korat, Thailand, hujung tahun ini, sekali gus menafikan sebarang dakwaan penarikan diri atau konflik dalaman.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata skuad elit lelaki dan wanita negara akan turun mempertahankan pencapaian di edisi terdahulu di Kemboja, termasuk pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai yang dimenangi di Siem Reap pada 2023.
“Sebagaimana yang kita maklum, skuad elit lelaki akan mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai yang dimenangi di Kemboja. Ini pasti, dan saya juga akan turun padang untuk memastikan ianya menjadi kenyataan,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan skuad wanita juga dijamin, khususnya menerusi jaguh lebuh raya negara, Nur Aisyah Mohammad Zubir, yang turut menyumbang pingat pada edisi lalu.
“Saya akan pastikan skuad elit wanita kita menyertai acara kegemaran masing-masing di Korat Disember ini,” katanyai.
Dalam masa sama, Amarjit menegaskan PKBM tidak mempunyai sebarang pertikaian dengan Majlis Sukan Negara (MSN), sambil menyifatkan hubungan antara kedua-dua pihak sebagai erat dan berlandaskan kerjasama profesional yang telah lama terjalin.
“Sebagai Presiden PKBM, saya ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah mempunyai masalah dengan MSN. Mereka sentiasa melayan segala permintaan kami dengan baik dan terperinci, termasuk dari aspek kewangan,” katanya.
Menurutnya lagi, sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), beliau bersedia menjadi perantara untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan atau dakwaan tidak berasas yang mengaitkan PKBM dan MSN.
“Saya sanggup turun padang dan bertemu mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan MSN. Jika ada masalah, lebih baik diselesaikan menerusi perbincangan, bukan dengan tuduh-menuduh atau mencetuskan konflik,” jelasnya.
Pada temasya dwitahunan di Kemboja tahun lalu, majoriti pelumba negara datang daripada kelab benua, antaranya Terengganu Cycling Team (TSG) yang telah menyumbang kekuatan utama kepada skuad kebangsaan.
Justeru, Amarjit menyeru semua pelumba tempatan agar terus komited menyarung jersi negara dan berjuang untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
“Anda semua mesti rasa bangga untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Korat. Saya berjanji akan membantu anda semua,” katanya.