sukan@hmetro.com.my
Langkawi: “Jangan ketinggalan, tunggu saya di garis penamat,” itulah janji Josh Amberger, 35, yang juga juara bertahan kategori profesional lelaki menjelang saingan kejohanan Ironman Malaysia 2024 di sini, esok.
Kata-kata itu membayangkan atlet triatlon dari Australia itu bersedia sepenuhnya untuk mendominasi saingan, sekali gus sekali lagi mengidam gelaran ‘orang besi’ pada kejohanan berprestij peringkat antarabangsa itu.
Tahun lalu, Amberger melepasi garisan penamat di Pelangi Beach Resort & Spa, di sini, menerusi tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang, berbasikal dan berlari dengan catatan masa tiga jam 50 minit 47 saat.
“Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk sekali lagi mengharungi cabaran Ironman Malaysia yang disertai atlet-atlet hebat lain dengan kesemuanya turut bercita-cita menaiki podium.
“Antaranya termasuk rakan senegara, Regan Hollioake dan Benjamin Hill,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Ironman Malaysia 2024 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, malam tadi.
Pada edisi kali ini, kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2024 yang dianjurkan World Endurance Malaysia Sdn Bhd (WEMSB) berjaya menghimpunkan lebih 1,800 atlet dari 51 negara.
Ironman Malaysia membabitkan tiga disiplin – berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km, manakala Ironman 70.3 Langkawi juga membabitkan tiga disipilin tapi jaraknya lebih dekat – berenang sejauh 1.9km, berbasikal 90km dan berlari sejauh 21.1km.
Ahli Parlimen Muar yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 31, adalah antara nama yang turut tersenarai sebagai peserta Ironman Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



