am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Ganas dan melampau ! itu tindakan tiga lelaki yang sengaja merempuh bot rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang beroperasi di perairan Tanjung Bidara di sini.
Dalam kejadian awal pagi semalam, suspek disyaki cuba menyeludup keluar pendatang dan dadah selain cuba meloloskan diri daripada diberkas.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun diberkas sejurus bot gentian kaca dinaiki terbalik.
Menurutnya, dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek dikesan bergerak secara mencurigakan dari Pulau Rupat, Indonesia dan dipercayai ingin memasuki perairan Malaysia sebelum bot mereka dikejar pasukan APMM yang sedang melaksanakan operasi Op Murni.
“Sebaik mengesan bot tanpa nombor pendaftaran dinaiki suspek di kedudukan 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara, tujuh anggota penguat kuasa segera mengejar dan mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.
“Namun, bot terbabit bertindak agresif dan secara tiba-tiba melanggar bot rondaan Maritim Malaysia sebelum hilang kawalan dan terbalik.
“Dua suspek nekad terjun ke laut bagi melarikan diri, manakala seorang lagi berjaya ditahan sekitar jam 4.10 pagi,” katanya semalam.
Beliau berkata, susulan itu Operasi CARILAMAT diaktifkan bagi mengesan dua suspek yang terjun ke laut semasa kejadian.
Menurut Salehuddin, hasil siasatan awal bot suspek disyaki mahu menuju ke Pengkalan Balak bagi mengambil pendatang tanpa izin (PATI) serta bekalan dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.
Katanya, suspek yang ditahan adalah warga Indonesia berusia 37 tahun dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran.
“Hasil soal siasat, suspek mendakwa mereka turut menggunakan dadah syabu ketika di Tanjung Rupat sebelum menaiki bot memasuki perairan Malaysia.
“Setakat ini operasi mencari dan menyelamat dua suspek masih diteruskan. Mereka dipercayai pandai berenang namun cuaca ketika kejadian angin kencang.
“APMM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.
Beliau berkata, bot peronda hanya mengalami kerosakan kecil pada sisi kiri serta penutup kanopi bot.
© New Straits Times Press (M) Bhd




