APABILA tular dakwaan ada pengunjung mengambil tanah dari pusara Allahyarham Nurly Sahirah Azman, mangsa nahas bas di Gerik, Perak untuk tujuan tertentu, ia mencetuskan kegusaran ramai.
Tindakan itu memaksa ahli keluarga arwah memasang tali pengadang di sekeliling kubur demi memelihara kehormatan pusara berkenaan.
Malah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) juga sudah memberi amaran supaya tiada unsur khurafat atau amalan bertentangan dengan syarak dilakukan di kawasan perkuburan tersebut.
Pihak berkuasa agama itu turut melakukan pemantauan bagi mengelakkan berlakunya perbuatan perbomohan, sihir atau apa sahaja yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Jabatan Mufti Negeri Pahang turut menasihatkan masyarakat supaya berpegang teguh kepada panduan syarak ketika menziarahi mana-mana kubur, termasuk pusara orang soleh dengan menekankan kepentingan menjaga adab.
Jelas jabatan mufti itu, ia supaya amalan kebaikan yang sangat dianjurkan kepada umat Islam tersebut tidak bertukar menjadi suatu yang tercela.

SEKIRANYA seseorang mengambil tanah dari perkuburan wakaf, wajib bagi mereka untuk mengembalikan tanah tersebut jika ia masih ada. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Katanya, Islam mengajarkan umatnya untuk menziarahi kubur bagi mengingati kematian, menundukkan hati dan mendoakan kesejahteraan ahli kubur, bukannya mengambil bahan fizikal seperti tanah atau batu nisan dengan niat mendapatkan keberkatan.
“Tabaruk (mengambil berkat) itu hanyalah satu bentuk tawassul kepada ALLAH melalui sesuatu yang dijadikan perantara sama ada ia berupa peninggalan (kesan), tempat atau individu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Pahang pada Selasa.
Jelas jabatan mufti itu, pemuliaan terhadap orang soleh bukanlah disebabkan individu tersebut berkuasa memberikan manfaat secara mutlak, sebaliknya atas kedekatan mereka dengan ALLAH SWT.
“Adapun tempat pula tidak mulia kerana zatnya, tetapi kerana amalan soleh yang berlaku di dalamnya seperti amalan solat, kebaikan dan segala bentuk ibadah yang dilakukan oleh hamba-hamba ALLAH yang soleh. Rahmat ALLAH turun di sana,” terangnya.
Kepada mereka yang mengambil tanah dari perkuburan wakaf, Jabatan Mufti Negeri Pahang menjelaskan, wajib bagi kelompok itu mengembalikan tanah tersebut jika ia masih ada.
“Ia sebagaimana jawapan Imam Ar-Ramli ketika ditanya seseorang yang mengambil tanah dari sebidang tanah wakaf. Beliau menjawab, wajib ke atasnya untuk mengembalikannya jika masih ada.
“Jika tidak, dia wajib menggantikannya dengan yang seumpamanya dan membayar ganti rugi atas kekurangan nilai tanah tersebut. Semua itu menjadi hak bagi pihak yang diwakafkan kepadanya,” katanya.
Antara adab menziarahi kubur yang dikongsikan Jabatan Mufti Negeri Pahang termasuklah meninggalkan perbualan kosong di tanah perkuburan, wanita hadir dengan berpakaian sopan, mengucapkan salam atau bacaan lain yang dianjurkan, berdiri dengan tenang sambil menghadap si mati dan memohon kepada ALLAH agar diterima amalan segala amalan baiknya serta diampunkan dosanya.

ANTARA adab menziarahi kubur termasuklah meninggalkan perbualan kosong di tanah perkuburan, wanita hadir dengan berpakaian sopan, mengucapkan salam atau bacaan lain yang dianjurkan, berdiri dengan tenang sambil menghadap si mati dan memohon kepada ALLAH agar diterima amalan segala amalan baiknya serta diampunkan dosanya. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
Di samping itu, ketika menziarahi pusara juga, umat Islam dianjurkan untuk memohon rahmat ke atas si mati dan elakkan daripada mengusap-usap atau mencium batu nisan agar tidak menimbulkan fitnah.
Elak ritual khurafat
Kadangkala memang ada segelintir individu yang terlalu menyempitkan ruang amalan hingga setiap bentuk penghormatan dan doa di kubur terus dilabel sebagai syirik tanpa meneliti hujah sebenar.
Begitu juga dengan kelompok yang mempunyai kecenderungan melampaui batas apabila tanah perkuburan dijadikan tempat melaksanakan ritual tertentu yang tidak pernah diajarkan dalam agama.
Mengulas perkara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan, semua itu berpunca daripada kegagalan membezakan antara nilai adat, budaya dan sempadan hukum syarak.
Jelas beliau, perbuatan menyebut kebaikan orang soleh, menghadiahkan bacaan al-Quran atau memohon keampunan untuk si mati adalah sebahagian daripada adab Islam yang diiktiraf oleh syarak.
Ia selagi mana amalan berkenaan tidak disertakan dengan unsur pemujaan atau taksub berlebihan.
“Antara contoh amalan yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik ketika menziarahi kubur adalah melakukan tawaf atau solat menghadap kubur; mencium, menyapu atau mengambil tanah/ batu kubur; ritual ghaib dan sihir di kubur.
“Selain itu, kita juga dilarang untuk meletakkan makanan, minuman atau barang persembahan di kubur dan tidur atau berehat di pusara. Ia tidak selari dengan adab ziarah yang dibenarkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran ‘Garis kawal selia syariah di tanag perkuburan Islam’ di laman sosial Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Rabu.

USTAZ AHMAD FAUWAZ
Menyentuh tentang elemen tabaruk pula, Ustaz Ahmad Fauwaz menjelaskan, ia tidak pernah ditolak secara multak dalam Islam, tetapi tertakluk kepada syarat-syarat syarak yang jelas.
Ujar beliau, tabaruk adalah mengharapkan keberkatan daripada ALLAH SWT dengan perantara sesuatu. Keberkatan itu datangnya daripada ALLAH SWT, bukan daripada mana-mana benda atau individu.
“Menganggap tempat atau objek itu berkuasa secara sendiri tanpa dalil adalah perbuatan melampau dan boleh membawa kepada kesyirikan apabila diyakini mampu menyampaikan hajat atau memberikan manfaat.
“Maka, umat Islam perlu berhati-hati. Bertabaruklah dengan cara yang menepati syariat, tetapi ia tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan perbuatan taksub, pemujaan atau ritual yang bercanggah dengan akidah.
“Amalan menziarahi kubur mestilah dikembalikan kepada maqasid asalnya iaitu mendidik jiwa, menginsafkan hati dan menguatkan ikatan dengan kehidupan akhirat,” titipnya.