nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tukar tangki minyak kepada gas asli mampat (NGV) untuk berjimat tetapi rugi lebih banyak apabila kereta kerap rosak.
Itu pengalaman dialami Azly Sulaiman, 50, yang pernah menukar tangki minyak Proton Waja untuk penggunaan NGV beberapa tahun lalu.
Azly berkata, dia mengeluarkan kos kira-kira RM1,800 bagi menukar tangki minyak kereta itu kerana mahu jimat kos bahan api.
“Jika dikira secara kasar, memang guna NGV lagi murah berbanding petrol. Tetapi bila sudah tukar (tangki minyak), kereta saya asyik rosak.
“Kos membaiki kereta lebih mahal berbanding kos untuk berjimat. Dalam tempoh tiga bulan, beberapa kali kereta saya masuk bengkel.
“Disebabkan itu, saya buat keputusan tukar semula tangki minyak petrol kerana sudah tidak sanggup keluarkan kos baiki kereta yang rosak,” katanya ketika ditemui di KL Sentral, di sini, semalam.
Pemandu teksi itu berkata, ramai dalam kalangan rakannya sudah mengambil inisiatif sendiri menukar sendiri tangki minyak teksi mereka.
“Ini kerana sudah tidak banyak stesen (minyak) yang ada NGV. Saya sendiri mengisi NGV di Jalan Cochrane, Cheras meskipun tinggal di Semenyih memandangkan tiada stesen minyak di sana yang ada NGV.
“Apabila kerajaan umum tidak lagi membekalkan NGV dan memberikan bantuan kepada pemandu teksi yang terjejas, ia adalah satu kelegaan bagi kami.
“Tindakan berkenaan dapat membantu meringankan beban pemandu teksi yang mahu menukar tangki minyak mereka memandangkan penggunaan NGV sudah lagi tidak relevan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, A Ganapathi, 65, berkata, penggunaan NGV tidak sesuai bagi pemanduan jarak jauh dengan kelajuan melebihi 100 kilometer (km) per jam.
“Saya sudah guna NGV sejak mula-mula jadi pemandu teksi pada 1997. Ada lima kereta yang saya guna sebagai teksi iaitu tiga Proton Iswara dan masing-masing sebuah Proton Waja serta Persona.
“Daripada pengalaman saya, penggunaan NGV hanya sesuai untuk pemanduan di bandar dengan kelajuan paling maksimum sekitar 90km per jam saja.
“Jika kenderaan dibawa laju menggunakan NGV, ia akan merosakkan enjin. Disebabkan itu, ada beberapa rakan (pemandu teksi) mengeluh kereta mereka kerap rosak,” katanya.
Dia bersyukur dengan inisiatif kerajaan melaksanakan program bantuan kepada pemandu teksi yang terjejas dan bercadang memohon bantuan berkenaan.
“Jika dulu kos untuk menukar tangki minyak kepada NGV kira-kira RM5,000 tetapi sekarang saya rasa kosnya lebih murah.
“Dengan adanya bantuan daripada kerajaan itu, pastinya ia dapat meringankan beban kewangan kami (pemandu teksi) yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd