Kerajaan Negeri Sembilan secara rasmi mewartakan pemecatan dua Undang yang sebelum ini menjadi pertikaian, sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam kemelut institusi adat negeri berkenaan.
Berdasarkan dokumen pewartaan bertarikh 23 Oktober, Datuk Mubarak Thahak diberhentikan daripada jawatan dan gelaran sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-10 berkuat kuasa 13 Mei 2025.
Sementara itu, Datuk Maarof Mat Rashad turut dipecat sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dengan tarikh kuat kuasa 31 Mei 2023.

Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin mengesahkan kewujudan dokumen pewartaan tersebut ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau turut mengesahkan pemecatan Datuk Badarudin Abdul Khalid sebagai Dato’ Shahbandar Sungei Ujong, iaitu jawatan yang berperanan mengimbangi kuasa Undang di Luak Sungei Ujong.
Menurut dokumen berkenaan, keputusan pemecatan dibuat berlandaskan hukum adat selepas memenuhi syarat kebulatan luak masing-masing.
Dalam masa sama, pewartaan tersebut turut mengiktiraf pemasyhuran Datuk Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong baharu dan Datuk Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau baharu.

Pengiktirafan terhadap Hassan sekali gus mengetepikan kedudukan Abdul Rahim Yasin yang sebelum ini merupakan antara Undang Yang Empat yang mengumumkan pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Dokumen itu turut menyatakan bahawa pewartaan berkenaan dibuat atas perintah Tuanku Muhriz.
Susulan perkembangan tersebut, Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah dilaporkan menjadi satu-satunya Undang yang tidak sehaluan dengan Tuanku Muhriz, namun kedudukannya tidak dipertikaikan.
Sumber: Sinar Harian




