Ambil masa lima jam sehari 'belai' tanaman

Ambil masa lima jam sehari 'belai' tanaman

bhnews@bh.com.my

DULU tiada siapa yang kisah kewujudan tanah terbiar kira-kira 100 meter di Pangsapuri Sri Malaysia, Sungai Besi ini. Tambahan pula ia terletak berhampiran Kolam Takungan Banjir Sungai Midah.

Malah kawasan itu dipenuhi dengan semak-samun, menjadi habitat haiwan berbisa dan aktiviti tidak sihat.

Bagaimanapun, kawasan yang jarang dilalui orang kerana agak berbahaya sudah jauh berbeza apabila dijadikan Kebun Bandar, selain dilengkapi trek joging.

Kini melintasi kawasan itu sejuk mata memandang apabila dipenuhi pelbagai tanaman menghijau.

Pokok pisang, jagung, betik, serai, cili, kangkung, bayam, pandan, timun, petola, keladi, selain pelbagai jenis herba termasuk belalai gajah, bebuas, misai kucing, hempedu bumi dan banyak lagi antara yang ditanam di situ.

Ada juga penduduk membina kolam ikan keli, talapia, sepat dan memelihara ayam di kawasan berhampiran.

Berkebun jadi trend

Kejayaan bercucuk tanam sebegitu sekarang sudah menjadi seakan trend di mana-mana sahaja termasuk di ibu kota bagi mengisi masa lapang atau sekadar suka-suka dan pada masa sama dapat menjimatkan perbelanjaan dapur.

Yang pasti, meskipun tinggal di pangsapuri ia tidak menghalang penduduk untuk berkebun.

Justeru, bagi projek Kebun Bandar di Pangsapuri Seri Malaysia, berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ini dimulakan pada Januari tahun lalu.

Seramai 17 peserta yang menginap di pangsapuri berkenaan mengusahakan 0.4 hektar tanah terbiar selepas mendapat kebenaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menerusi program Kebun Bandar seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebelum tanaman itu menjadi, penduduk, Anuar Hussin, 53, yang kerap berjoging melihat potensi tanah itu untuk dijadikan kebun, kemudian membersihkan dan ditanam dengan pokok pisang.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, membuatkan saya lebih kerap turun ke kawasan ini untuk mula bercucuk tanam pelbagai tanaman. Kemudian beberapa penduduk juga menyertainya selepas kerap melihat saya berkebun.

“Saya ada pekerjaan tetap, tetapi setiap hari akan meluangkan masa sehingga lima jam melihat hasil tanaman seperti cili, kacang, timun selain membuat kolam ikan,” katanya berbelanja RM1,000 untuk menjayakan kebun itu.

Malah, selepas melihat tanaman itu ‘menjadi’ mereka kemudian membuat permohonan kepada JPS dan PTG untuk mengusahakan tanah itu dan gembira apabila dibenarkan.

Tanaman sayuran ‘menjadi’

Bagi pesara tentera, Sabariah Salimi, 53, pula Kebun bandar teruja dapat berkebun selepas tidak membawa van sekolah kerana sekolah ditutup, akibat COVID-19.

Sejak itu setiap hari beliau dan suami, Hamzan Samat, 61, akan berkebun dan hasilnya membanggakan apabila tanaman termasuk ubi keledak, pisang, ubi kayu, serai dan banyak lagi ‘menjadi’.

“Semua tanaman dimakan sendiri, selain disedekahkan kepada jiran dan rakan,” katanya.

INFO: Jenis Kebun Bandar

  • Dilaksanakan secara individu
  • Berkumpulan terdiri daripada komuniti penduduk atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT)
  • Dikendalikan oleh syarikat korporat
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Scroll to Top