Ambil peluang kestabilan politik untuk terus perbaiki tata kelola – PM

Ambil peluang kestabilan politik untuk terus perbaiki tata kelola – PM

zanariah_mutalib@bh.com.my

Vientiane: Kestabilan politik yang dimiliki Malaysia perlu digunakan sepenuhnya untuk terus menambah baik tata kelola, yang menjadi kunci utama kepada pembangunan negara dan mengangkat martabat rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara kini sudah sampai di tahap, yang mana pemimpin politik, penjawat awam dan sektor swasta bersedia untuk melakukan anjakan perubahan.

Perdana Menteri berkata, negara tidak mampu berada di tahap lama, justeru jika perubahan yang lebih bermakna dan rancak tidak dilakukan, negara akan kembali kepada keadaan ekonomi yang suram dan lembap.

“Kita sudah ada kestabilan politik, kita gunakan untuk perbaiki tata kelola kerana tidak ada negara dengan kekayaan sebesar mana pun mampu mengangkat martabat masyarakat, bangsa dan negara tanpa satu pengurusan amanah yang bertanggungjawab.

“Sebab itu, kita mulakan dengan dasar itu, kemudian kita perkenalkan dasar yang jelas, perindustrian, digital, tenaga dan semikonduktor supaya orang tahu dan ini memungkinkan kita meyakinkan mereka, yang mana bila mereka datang, mereka lihat ada tahap kecekapan yang diharapkan.

“Setakat ini, ada perubahan ke arah itu dan saya selalu sebut, sentiasa ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama delegasi Malaysia yang berada di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Majlis dianjurkan Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud di Rumah Malaysia di sini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan membuka tirainya secara rasmi hari ini dan berlangsung selama tiga hari.

Hari ini, Perdana Menteri menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari ketua negara sejurus selepas majlis pembukaan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

Perdana Menteri dijadual menghadiri lebih 20 sidang kemuncak, mesyuarat dan pertemuan dua hala yang berlangsung sepanjang tiga hari.

Pada majlis penutupan Jumaat ini, Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top