KUANTAN: Sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesucian atau menyemai kebencian terhadap agama Allah tidak boleh dipandang ringan dan hendaklah dikenakan tindakan setimpal peruntukan undang-undang negara.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.
Justeru, titah baginda sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan.
“Pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah, namun setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas,” titah baginda di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak dan pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta.
Baginda bertitah, sebarang isu berkaitan agama perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Sultan Pahang juga menegaskan bahawa golongan yang paling perlu memainkan peranan dalam perkara ini ialah kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat.
“Mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menghormati sensitiviti agama dan bersama-sama memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi asas kekuatan negara. – UTUSAN




