AMD Dream ikat juara bertahan, Buriram tepati ramalan

AMD Dream ikat juara bertahan, Buriram tepati ramalan

PETALING JAYA: Skuad muda negara, AMD DREAM memulakan saingan kategori Bawah 14 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023 dengan langkah positif selepas mengikat juara bertahan dari Croatia, NK Osijek dengan keputusan seri 1-1.

Pada aksi yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang NK Osijek terpaksa berkerja keras sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada aksi pertama kategori Bawah 14 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023.

Kelab yang berpengkalan di Croatia itu terlebih dahulu didepan seawal minit ke-43 hasil jaringan Jakov Dedic sebelum Arfan Haziq Ahmad Marzuki menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50.

Ketua jurulatih AMD DREAM, Ahmad Shahir menyifatkan keputusan seri adalah satu keputusan positif dan langkah permulaan untuk ke pentas final.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain, cuma ada satu dua perkara yang perlu diperbaiki pada perlawanan yang seterusnya, terutamanya kesilapan mudah ketika bertahan.

“Untuk kejohanan kali ini sasaran pasukan adalah ke pentas final dan mengharapkan satu mata diraih akan menjadi langkah permulaan ke pentas final,” jelasnya yang melihat NK Osijek, Buriram United (Thailand) dan Shonan Bellmare (Jepun) sebagai pencabar kejuaraan.

Bagi Ketua Jurulatih NK Osijek, Ante Bekavic menyifatkan AMD DREAM memiliki kualiti permainan yang bagus dengan saingan yang diberikan.

“Perlawanan yang menarik dan bagus buat pasukan terutamanya pemain-pemain baharu yang dibawa, keputusan seri 1-1 adalah adil buat kedua-dua pasukan.

“Terima kasih kepada penganjur (MSN) yang mengadakan kejohanan untuk pemain-pemain muda membuktikan kemampuan yang dimiliki,” tegasnya.

Sementara itu dalam satu perlawanan, Sekolah Sukan Bukit Jalil / CZA NFDP (Malaysia) terpaksa akur dengan Buriram United (Thailand) selepas tewas 2-4.

SSBJ terlebih dahulu berada didepan pada minit ke 21 menerusi gol yang dijaringkan Akif Akimi Azizan sebelum selang sembilan minit kemudian Buriram United menyamakan kedudukan menerusi Phonphitak Rungrueang untuk kedudukan 1-1.

Buriram United mendahului SSBJ untuk kedudukan 2-1 selepas Natawan Tapabnam meledak gol kedua pada minit masa kecederaan separuh masa pertama.

Ahmad Haziq Hakimi memastikan keputusan kembali seimbang selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41 namun hanya mampu bertahan enam minit apabila pemain Buriram United menjaringkan gol ketiga menerusi Sorawit Srilang sebelum Phanuwit Jeyakom menjaringkan gol keempat minit ke-67 untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan 4-2.

“Perlawanan hari ini tidak mengikut matlamat (perancangan/taktikal) dan kami akan perbaiki beberapa kelemahan pada perlawanan akan datang.

“Matlamat pasukan pada kejohanan kali ini adalah sama seperti tahun sebelumnya iaitu bergelar juara,” ujarnya yang telah melakukan persiapan rapi untuk kejohanan ini.-UTUSAN

Keputusan perlawanan yang berlangsung hari ini:

Bawah 14 Tahun
AMD Future 2–2 Spartak Trnava
Shonan Bellmare 1–0 Piraya Football

Bawah 13 Tahun
AMD Dream 4-0 Zhejiang Professional FC
Lech Poznan 4–3 Hong Kong FA
Chonburi FC 4–2 Fagiano Okayama
AMD Future 0–7 Evergrande Football School

Bawah 12 tahun
NFDP A 5–1 Asiop Football Academy
NFDP B 1–4 Johor Darul Ta’zim
NFDP C 1–2 Zhejiang Professional FC
NFDP B 7–0 Apuesto Bueno FC