Amelina Impi Konsert Solo, Akui Irama Dangdut Perlukan Sokongan Lebih Luas – “Saya Sedia Bila-Bila Masa”

Amelina Impi Konsert Solo, Akui Irama Dangdut Perlukan Sokongan Lebih Luas – “Saya Sedia Bila-Bila Masa”

Tatkala ramai penyanyi seangkatannya rancak menganjurkan konsert solo berskala besar, penyanyi dangdut legenda, Amelina mengakui dia sendiri sudah lama menyimpan impian untuk menghiburkan peminat di pentas sendiri.

Kata Amelina atau nama lengkapnya,  Norazlina Amir sedar realiti semasa, pasaran dan sambutan terhadap irama dangdut kini tidak se-gah genre muzik lain.

“Saya memang mendambakan konsert solo yang besar, tapi kena sedar keadaan. Tak semua pihak yakin untuk menganjurkan konsert irama dangdut.

“Tapi alhamdulillah saya masih menerima undangan persembahan di acara besar, terutama di Sabah dan Sarawak. Sambutannya pun baik sebab ramai yang masih meminati dangdut, cuma mungkin mereka jarang menonjolkan minat itu.

“Tapi setakat ini, saya belum pernah menerima tawaran untuk mengadakan konsert solo berskala besar walaupun sudah lama dalam industri,” katanya kepada XTRA.

Ditanya jika dia bersedia sekiranya ada pihak mahu melamarnya mengadakan konsert solo, Amelina bagaimanapun optimis akan memberikan persembahan terbaik kerana sudah mempunyai katalog lagu yang kukuh.

“Saya memang bersedia bila-bila masa. Kalau boleh saya mahu adakan konsert semuanya mengenai diri saya dan perjalanan hidup saya.

“Saya juga mahu sampaikan lagu genre lain untuk kepuasan diri sendiri. Lagipun lagu-lagu saya ada banyak dan rata-ratanya boleh dinyanyikan bersama penonton.

“Bukan itu sahaja, kesemua lagu yang saya ada semua orang tahu. Lagu-lagu lama saya pun generasi kini sudah tahu kerana viral di TikTok.

“Jika ada konsert seperti itu untuk saya atau artis dangdut lain…. saya rasa itu adalah perkara yang bagus,” jelasnya.

Tambahnya lagi,  peluang untuk mengadakan konsert bukan saja bagus untuk dirinya, malah untuk artis dangdut lain kerana boleh membantu mengangkat semula genre itu di negara ini.

Menyedari dirinya sudah kurang popular,  penyanyi berusia 51 tahun ini mengakui sedikit kesal kerana pernah menyepi terlalu lama dalam industri seni tanah air.

“Saya sudah lama tidak mendapat jemputan untuk membuat persembahan di Indonesia. Peminat saya di sana juga sudah tidak begitu ‘menggigit’ seperti dulu mungkin kerana saya hilang terlalu lama sebelum ini. Itu silap saya.

“Lagipun, jadual kerja saya di sini juga agak padat. Jadi buat masa sekarang ini memang tiada mana-mana pihak yang mempelawa saya untuk membuat persembahan di sana,” kongsinya.

Scroll to Top