17 Ogos 2025 12:39am
Masa membaca: 4 minit

AS gantung semua visa pelawat untuk penduduk Gaza sementara semakan prosedur dijalankan. Foto AFP
ISTANBUL – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menggantung semua visa pelawat untuk penduduk Semenanjung Gaza dengan alasan sedang menjalankan semakan terhadap proses pengeluaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Semua visa pelawat untuk individu dari Gaza dihentikan, sementara kami menjalankan semakan penuh dan menyeluruh terhadap proses serta prosedur yang digunakan bagi mengeluarkan sejumlah kecil visa sementara atas tujuan perubatan dan kemanusiaan sejak beberapa hari lalu,” menurut jabatan itu dalam hantaran di platform media sosial X.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut hampir 61,900 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan wilayah itu dan mendorongnya ke ambang kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya di wilayah berkenaan. – Bernama-Anadolu