georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon, Amir Ahnaf, 24, mengakui berkawan rapat dengan anggota Dolla iaitu Angel, namun menafikan mereka menjalin hubungan serius dan menganggap Angel sebagai adik.
Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin berkata, dia terkejut dengan gosip mengaitkan mereka bercinta hanya kerana dia hadir menyokong konsert Dolla, Sabtu lalu.
“Saya kenal Angel tahun lalu. Sebenarnya bila bangun pagi, terkejut apabila terbaca satu artikel mengenai gosip itu. Saya sokong Angel sebab memang minat Dolla sejak lagu pertama lagi, Dolla Make You Wanna.
“Tak ada gosip pun. Saya dan Angel kawan saja. Entah-entah Angel pun sudah ada pasangan. Saya pun tak tahu kalau dia ada teman lelaki atau tak. Ya, kami teman baik, dia macam adik.
“Awal tahun lalu mula rapat. Kami berkenalan sejak CelebFest di Singapura. Tak pernah lepak lagi,” katanya ditemui pada parti penutup Kahar Kapla High Council, di Six in the City, di sini, semalam.
Amir berkata, dia memang peminat Dolla sejak dulu lagi dan dia menghubungi Angel sendiri untuk hadir ke konsert itu.
Menurut Amir, mereka memang tidak pernah keluar bersama.
“Ya, (jemput) secara peribadi. Kami berbalas mesej. Kalau diberi keperluan, naklah ‘hangout’ (lepak) tapi tak pernah lagi. Anggota Dolla sangat eksklusif. Mereka tak keluar di khalayak sangat,” katanya.
Amir juga belum sempat menghubungi Angel selepas gosip itu keluar. Namun, dia akui memang kasihankan Angel apabila terpaksa menjawab dakwaan mengenai mereka bercinta.
“Dia pun sibuk dahulukan karier seni berbanding mencari cinta. Satu yang terlintas di fikiran, kasihanlah dekat Angel kena menjawab semua itu. Maaf Angel. Saya pun belum bersedia menjalin hubungan sebab kerjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Amir tidak menolak sekiranya mendapat tawaran membintangi mana-mana projek membabitkan Dolla pada masa depan. Dia memang menunggu saja peluang itu.
“Saya rasa satu penghormatan kalau jadi satu daripada bakat untuk muzik video Dolla. Satu pencapaian besar kalau saya ada,” katanya.
Terdahulu, kehadirannya ke konsert sulung Dolla, Dolla Re: Birth The Experience mengundang spekulasi netizen mengenai hubungannya dengan Angel.
Pada konsert itu, Amir difahamkan baru saja selesai menjayakan pertunjukan fesyen sebelum bergegas ke konsert itu bersama rakan pelakon, Hazeeq Dean.
© New Straits Times Press (M) Bhd




