Amir Hasan Luah Perasaan Dalam ‘Pelangi’

Amir Hasan Luah Perasaan Dalam ‘Pelangi’

Amir Hasan, bintang hip hop yang semakin mencipta nama, kembali memukau peminat muzik menerusi single terbarunya berjudul ‘Pelang’. Lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama bersiri slot Lestary TV3, Cikgu Diva.

Hanya sebulan selepas melancarkan single ‘Manis’, Amir menunjukkan dedikasinya sebagai penyanyi dan pencipta lagu dengan terus mempersembahkan karya kreatif yang meneroka pelbagai elemen muzik.

“Syukur Alhamdulillah, ‘Manis’ menerima sambutan yang sangat positif. Ramai pendengar berkongsi bahawa mereka merasakan sesuatu yang segar dari karya saya,” ujar Amir dengan rasa teruja.

Dicipta dengan penuh sentuhan seni, ‘Pelangi’ menggambarkan keindahan kisah cinta remaja yang penuh makna.

“Lagu ini bercerita tentang pertemuan dua insan yang saling mengajarkan makna cinta. Saya menulisnya berdasarkan pengalaman peribadi dan imaginasi, dengan harapan ia mampu menyentuh hati pendengar.

“Saya sentiasa berusaha memastikan setiap lagu yang saya hasilkan membawa elemen baharu. Dengan ‘Pelangi’, saya ingin menggambarkan perjalanan emosi yang santai tetapi tetap bermakna,” tambahnya.

Selain itu, Amir turut berkongsi rancangannya untuk melancarkan album pertama pada tahun 2025.

“Album ini adalah hasil kerja keras bertahun-tahun, mencerminkan pelbagai sisi saya sebagai seorang artis. Saya tak sabar untuk berkongsi karya ini dengan semua,” katanya penuh harapan.

Scroll to Top