am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Amir Masdi mencatat sejarah peribadi apabila beraksi di ketinggian hampir dua tingkat dalam persembahan sempena ambang tahun baharu 2026.
Persembahan istimewa tepat jam 12 tengah malam di ioi citymall itu agak istimewa kerana pentas terbabit dikhaskan sepenuhnya buat Amir untuk menyampaikan lagu The Final Countdown.
Nyanyian penuh bertenaga juara Akademi Fantasia 2016 yang dihiasi percikan bunga api ini benar-benar menakjubkan sehingga ramai peminat memuji persembahannya.
Bagi memastikan keselamatannya, penyanyi bernama sebenar Amir Syazwan Masdi ini dipakaikan tali keselamatan oleh barisan petugas yang terlatih.
Menerusi media sosialnya, Amir meluahkan keterujaan dan menyifatkan apa yang dilalui sebagai satu pengalaman yang cukup manis dan sukar dilupakan dalam perjalanan seninya.
Dia turut berkongsi video pengalamannya ketika sesi ‘rehearsal’ (latihan) di media sosialnya untuk tatapan peminat.
Selain Amir, Konsert Countdown Kita 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan Faizal Tahir, Ella, Aisha Retno, Rayme, Didie Shazry, Wanie Kayrie, Nadeera, Hael Husaini, Audra dan kumpulan Alpha.
© New Straits Times Press (M) Bhd




