Pelakon Amir Nafis mendedahkan tidak menerima tawaran berlakon drama, meskipun namanya kini semakin dikenali menerusi beberapa rangkaian filem pecah panggung.
Menurut Amir, dia sendiri tidak pasti mengapa peluang berlakon di kaca televisyen masih belum hadir, sedangkan minat terhadap dunia lakonan tidak pernah berubah.
“Saya sebenarnya terbuka saja kalau ada tawaran drama. Bukan saya memilih nak fokus filem sahaja, tapi setakat ini memang belum ada rezeki ke arah itu kerana tiada tawaran.
“Ada satu telefilem saya jayakan berjudul Anak Pak Ustaz, tapi saya tak terima tawaran untuk berlakon naskhah seperti drama bersiri.
“Saya pun tertanya-tanya kenapa, mungkin ada yang anggap bayaran saya tinggi atau sudah ‘lock’ sebagai pelakon filem,” katanya kepada XTRA.
Dua filem lakonan Amir, Malaikat Malam dan Mikael: Pemburu Dua Alam kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.


Tambahnya, jika diberi peluang, dia sedia menerima mana-mana tawaran kerana lakonan merupakan bidang yang sangat diminatinya.
“Saya memang minat berlakon sejak awal. Jadi kalau ada peluang, saya akan sambut dengan hati terbuka dan buat sehabis baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amir turut mengulas komen peminat di media sosial apabila ada pengguna Threads berpendapat filem lakonannya seperti Sheriff, Blood Brothers dan Malaikat Malam berjaya meraih kutipan tinggi kerana kehadirannya sebagai pelakon.
Bagaimanapun, Amir merendah diri dan menolak tanggapan tersebut, sebaliknya menyifatkan kejayaan sesebuah filem bergantung kepada kekuatan naskhah dan usaha keseluruhan produksi.
“Saya rasa kejayaan filem bukan terletak pada seorang individu saja. Saya cuma bertuah dapat jadi sebahagian daripada projek yang bagus. Soal kutipan atau rezeki itu semua ketentuan Allah,” katanya yang ditemui di malam gala filem Mikael: Pemburu Dua Alam, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Amir menegaskan setiap watak yang dibawakan dilakukan dengan penuh komitmen termasuk membuat persediaan rapi sebelum memulakan penggambaran.
“Saya ambil serius setiap projek. Saya buat kajian, fahamkan skrip dan beri sepenuh tenaga untuk setiap watak,” jelasnya.
Amir yang mula aktif berlakon sejak 2017 turut mengakui popularitinya kini semakin meningkat apabila sering ditegur peminat di tempat awam, termasuk daripada pelbagai latar belakang.
Tambah Amir, dia tidak pernah mengejar populariti, sebaliknya hanya fokus terhadap minatnya dalam lakonan.
“Saya buat kerja sebab minat, bukan sebab nak popular. Mungkin sebab itu pengiktirafan datang sedikit lambat,” ujarnya lagi.




