Amir turun, saya yang berdebar!

Amir  turun, saya yang berdebar!

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rayuan anak meminta mencari ibunya selain perkongsian maklumat daripada sepupu yang bekerja dalam bidang pembetungan menguatkan semangat dan keyakinan buat Pegawai Kanan Bomba II Muhammad Amirudin Mohd Hassan masuk ke dalam lurang kumbahan di lokasi tanah jerlus di Masjid India di sin, pada 23 Ogos lalu.

Berbekalkan amanah, panduan daripada sepupunya dan perancangan pasukan, Penyelia Operasi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu tidak berasa takut atau gentar memikul tugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbabit walaupun berdepan risiko runtuhan serta gas berbahaya yang boleh membawa maut.

Muhammad Amirudin yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah di sini, individu pertama yang melakukan selaman di dalam lurang kumbahan selepas usaha pencarian mangsa di kawasan sekitar tanah jerlus itu gagal.

Dalam kejadian jam 8.22 pagi itu, seorang pelancong warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dan sehingga kini, mangsa tidak ditemui meskipun pelbagai usaha menyelamat sudah dilakukan pihak berkuasa.

Mengimbas kembali operasi SAR itu, Muhammad Amirudin berkata, pasukannya antara pasukan penyelamat terawal tiba di lokasi selepas BBP Titiwangsa.

Menurutnya, pada mulanya pasukan JBPM tidak menyangka air yang bertakung dan lubang yang berada kira-kira lapan meter di bawah tanah saluran kumbahan kerana tidak mengesan bau.

Bagaimanapun, katanya, ia dikesan melalui pelan lokasi dan beberapa anggota bomba turun ke bawah untuk mencari mangsa berdasarkan petunjuk iaitu selipar yang ditemui dalam takungan air serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak menemuinya.

“Selepas kita korek tanah menggunakan peralatan dan jentera pengorek memang tak jumpa mangsa, jadi kita beranggapan kemungkinan dalam saluran yang pecah.

“Kemudian kita buat pemeriksaan kedalaman air untuk masuk ke dalam saluran itu bagi mencari sebarang petunjuk yang ada.

“Saya turut menghubungi sepupu yang mahir mengenai pembetungan untuk mendapatkan maklumat. Dia beritahu lurang kumbahan di kawasan kejadian berdiameter 1.5 meter dan menunjukkan video mengenai keadaan lurang kumbahan, berkongsi tip dan beberapa pelan kecemasan.

“Pada malam itu, saya bersama anggota PPDA lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan alat komunikasi memulakan pencarian awal tapi kita tetapkan masa kurang lima minit untuk berada di dalam bagi rendahkan risiko kerana kita tak tahu apa ada di dalam.

“Hanya seorang anggota boleh masuk ke dalam lurang pada satu masa kerana ruang sempit dan arus air.

“Anggota lain bersedia di luar dan memegang tali dipasang pada badan anggota supaya boleh tarik keluar sekiranya berlaku kecemasan,” katanya pada program Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro.

Meskipun berdepan gas berbahaya dan pergerakan terbatas, Muhammad Amirudin dapat melakukan selaman sejauh 20 meter dan turut mengesan halangan sebelum bantuan teknologi lain termasuk kamera digunakan dalam operasi SAR berkenaan bagi mengenal pasti halangan terbabit.

Ditanya kenapa masih mempertaruhkan nyawa walaupun tahu risiko bakal dihadapi, beliau berkata, amanah diberikan anak mangsa selain sokongan keluarga membuatkan dia tekad memikul tanggungjawab itu.

Katanya, operasi itu akan menjadi kenangan sukar dilupakan kerana ia hari ulang tahun kelahiran isteri dan bersyukur wanita itu tetap memberikan sokongan serta menjadi sumber kekuatannya untuk meneruskan pencarian.

Sementara itu, Pegawai Operasi BBP Titiwangsa Pegawai Bomba Kanan I Mohd Azam Alip yang turut terbabit SAR mangsa tanah jerlus selama sembilan hari mengakui ia antara operasi berisiko.

Beliau yang sudah berkhidmat lebih 29 tahun bersama JBPM dan berpengalaman luas dalam operasi SAR membabitkan mangsa lemas sepanjang bertugas di Temerloh, Tasik Kenyir dan Kuala Lumpur.

Mohd Azam yang menyelia operasi pada hari kejadian mengesan gas berbahaya di dalam lurang kumbahan berkenaan.

“Pada hari pertama kejadian lagi kita dah buka ‘manhole’ untuk melakukan pencarian. Sebelum anggota turun ke bawah kita periksa tahap udara dan gas menggunakan alat pengesan untuk pastikan anggota turun dalam keadaan selamat.

“Walaupun dah periksa, tapi anggota yang masuk ke dalam lurang kumbahan itu masih perlu menggunakan set lengkap PPE dengan silinder gas untuk kurangkan sedut udara dari luar.

“Walaupun Amir (Muhammad Amirudin) dah lengkap dengan PPE dan alat komunikasi tapi saya tetap perlu pastikan keselamatannya. Sebagai penyelia, semasa Amir nak turun sudah tentu saya yang berdebar.

“Saya pesan pada dia supaya utamakan keselamatan diri dan apa-apa berlaku di bawah beritahu supaya kita boleh tarik dia keluar,” katanya.

Mohd Azam berkata, beliau turut terbabit membuka enam lurang kumbahan lain dari Wisma Yakin sehingga ke Bulatan Kinabalu bagi mencari mangsa namun kesemua pencarian itu negatif (tidak menemui mangsa).

Selain pencarian oleh anggota skuba dan penggunaan teknologi, beliau berkata, pelbagai kaedah lain turut digunakan termasuk melepaskan tong bagi mengkaji tempoh sesuatu objek bergerak di dalam lurang kumbahan untuk tiba di loji kumbahan di Pantai Dalam.

Katanya, beliau mengalami kesan sampingan daripada operasi itu kerana terdedah kepada gas berbahaya yang menyebabkan kulitnya gatal sehingga kini.

Malah, pelbagai cabaran sudah dilalui termasuk membabitkan elemen mistik sehingga jatuh sakit namun ia tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berkhidmat walaupun kini usianya sudah mencecah 51 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top